Isnin, 8 Mei 2017

Perubahan Pesuruhjaya PAS di tiga negeri akan diterima pimpinan akar umbi - Timbalan Mursyidul Am

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Percaturan PAS menampilkan tiga muka baru dalam barisan Pesuruhjaya PAS negeri merupakan amalan biasa dan dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan, kata Timbalan Mursyidul Am Datuk Ahmad Yaakob.
 
Sehubungan itu, beliau berkata rombakan yang dibuat menerusi lantikan akan diterima barisan kepemimpinan semua peringkat.
 
"Bagi saya apa yang bertukar itu adalah satu usaha yang telah dibuat oleh pihak tertinggi khusus bagi dilihat oleh parti.
 
"Ia satu perubahan, saya rasa tidak ada masalah apa-apa," katanya kepada Antarapos.
 
Menteri Besar Kelantan ini juga menyifatkan perubahan yang melibatkan kepemimpinan di tiga buah negeri merupakan sebahagian daripada percaturan PAS bagi mengukuh dan mempersiapkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
 
"Kita dalam PAS ambil dasar apa yang dilihat baik oleh pimpinan maka itulah kita ikut.
 
"Tak berbangkit, bagi saya tiada masalah," katanya.
 
PAS menampilkan tiga muka baru dalam barisan pesuruhjaya negerinya dengan perubahan itu membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak Sallehen Mukhyi dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, bekas Speaker DUN Terengganu Datuk Husin Awang dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu dan ADUN Puteri Wangsa Abdullah Hussin, dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Johor.
 
Sallehen menggantikan Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad.
 
Pesuruhjaya PAS Johor dan Terengganu sebelum ini, masing-masing diterajui Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed serta Saitifu Bahri Mamat.
 
 

Tiada ulasan: