Sabtu, 13 Mei 2017

PAS sedia lepas jawatan Exco jika dapat perkenan Sultan Selangor

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
PETALING JAYA: PAS membayangkan bahawa parti itu bersedia melepaskan jawatan Exco di Selangor jika ia mendapat perkenan dari Sultan Sharafudin Idris Shah.
 
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun belum mendapat maklumat lengkap, beliau maklum bahawa pelantikan exco terletak di bawah bidang kuasa Sultan.
 
"Bagi PAS, kita akur sebab pelantikan exco ini di bawah kuasa Tuanku Sultan Selangor (Sultan Sharafudin Idris Shah).
 
"Jadi pihak PAS kita akurlah kalau (benar) ia sudah dapat perkenan Tuanku Sultan," katanya dipetik mStar Online.
 
Beliau berkata demikian mengulas laporan yang memetik sumber The Star Online, bahawa Azmin meminta tiga Exco berkenaan melepaskan jawatan susulan keputusan Majlis Syura Ulama PAS memutuskan hubungan tahaluf dengan PKR.
 
Permintaan mengejut Azmin itu dibuat semasa mesyuarat selama satu jam dengan Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib pagi semalam.
 
Pesuruhjaya PAS negeri yang baru, Sallehen Mukhyi juga hadir dalam mesyuarat tersebut.
 
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata beliau bagaimanapun akan mendapatkan pengesahan lanjut daripada tiga exco berkenaan dan Azmin terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad.
 
"Saya kena dapat pengesahan yang betul dulu, secepat mungkin.
 
"Saya pun sebenarnya belum dapat pengesahan daripada exco kita di Selangor, saya akan dapatkan pengesahan mereka dan pengesahan daripada Datuk Seri Azmin tentang isu ini," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: