Selasa, 9 Mei 2017

Mais lancar modul baru galak pesalah akidah ‘taubat’


Menerusi modul ini pesalah akidah akan dipulihkan secara berperingkat bermula daripada saringan klinikal, kerohanian Islam dan pengukuran tahap riddah (murtad).


mais_Modul-Istitaba_600


KLANG: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini melancarkan Modul Istitabah – modul pertama seumpamanya di Malaysia yang akan memberi panduan ke arah memulihkan pesalah akidah dalam kalangan umat Islam di negeri ini dan mereka yang mencemarkan agama Islam.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, menerusi modul yang dibangunkan Mais itu, pesalah akidah akan dipulihkan secara berperingkat bermula daripada saringan klinikal, kerohanian Islam dan pengukuran tahap riddah (murtad).

Kesalahan mencemarkan agama Islam termasuk pemujaan salah, mempersendakan ayat al-Quran dan hadis serta pengisytiharan individu itu bukan lagi Islam.

Kesalahan ini tertakluk di bawah seksyen yang termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

“Modul ini juga menyediakan khidmat sokongan pasca pemulihan bagi memastikan akidah pesalah ini terus kekal bersama Islam,” katanya selepas majlis pelancaran modul itu hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Sosial Mais, Ahmad Shahir Makhtar.

Adzib berkata, modul ini juga diharapkan menjadi panduan kepada Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam di seluruh negara sebagai langkah memulihara kesucian Islam, selain dapat membimbing umat Islam untuk terus istiqamah dan kekal dengan ajaran Islam

Tiada ulasan: