Selasa, 9 Mei 2017

Komponen PH pasti tolak Tun M calon PM - Penganalisis

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
SHAH ALAM: Parti sekutu dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan bersetuju jika Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir diangkat sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan itu menawan Putrajaya.   
 
Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, parti-parti komponen PH mempunyai agenda dan strategi tersendiri dalam pencalonan jawatan penting berkenaan sungguhpun bersatu di bawah payung yang sama.
 
"Saya pasti parti-parti lain dalam Pakatan Harapan tidak akan dapat menerima. Itu dikatakan Tun M hanya sesuai sebagai Penasihat tetapi bukan sebagai tampuk memegang jawatan Perdana Menteri," katanya kepada Antarapos. 
 
Menurut Azmi, isu calon perdana menteri merupakan isu yang sukar bagi PH kerana kewujudan beberapa 'kumpulan' dalam gabungan itu yang merumitkan penentuan nama calon sehingga kini.  
 
"Timbul isu menamakan calon Perdana Menteri dalam Pakatan Harapan ini kerana terlampau banyak dikatakan kumpulan tertentu, DAP walaupun tidak akan menamakan calon daripada parti mereka tetapi mereka mempunyai strategi tersendiri untuk mencalonkan. 
 
"Masalahnya, calon harapan DAP ini tidak akan dipersetujui oleh sama ada Amanah, ataupun PKR mahupun PPBM. Sama juga dengan PKR, mereka ada calon tersendiri. Jadi, itu dikatakan uniknya Pakatan Harapan ini walaupun dikatakan satu parti konsesi pembangkang tetapi dalam membuat satu keputusan penting dan kritikal, mereka masih tidak boleh menamakan," katanya.
 
Azmi juga berpandangan, faktor umur bekas perdana menteri itu juga menjadikan beliau bukan calon realistik bagi PH.
 
"Dari segi pandangan umumnya termasuk pada penyokong Pakatan Harapan, Tun M bukanlah calon paling sesuai ataupun calon paling realistik untuk menjadi Perdana Menteri bagi pihak Pakatan Harapan," katanya lagi. 
 
Terdahulu, mantan menteri yang kini menyertai DAP, Datuk Zaid Ibrahim menggesa PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri kerana mendakwa pemimpin veteran itu mampu meraih sokongan padu seterusnya memastikan kemenangan gabungan berkenaan. 
 
Zaid dalam tulisan di blognya berkata, pemilihan Dr Mahathir sebagai calon PM boleh meleraikan kebimbangan umum bahawa DAP berminat untuk mengambil alih kepimpinan negara.
 
PH dalam sidang media hari ini ketika diaju mengenai gesaan Zaid itu dilihat masih enggan menamakan calonnya untuk jawatan terpenting tersebut.
 
Sebaliknya, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution berkata mana-mana calon yang dipilih akan lebih baik daripada kepimpinan kerajaan semasa.

Tiada ulasan: