Selasa, 9 Mei 2017

Amanah 'tak sedar diri' minta jawatan Exco - Tuan Ibrahim

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
KOTA BHARU: PAS menempelak parti serpihannya, Amanah sebagai parti 'tidak tahu malu' ekoran meminta untuk mengambil alih jawatan Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
 
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keadaan di Selangor ketika ini baik kerana barisan pentadbiran sedia ada masih diterima oleh rakyat negeri itu.
 
"Kalau saya, rasa malu hendak minta jawatan, sebab kita (Amanah) bertanding atas tiket parti lain kemudian minta hendak jadi Exco, payah nak sedar diri,” katanya dalam sidang akhbar sempena Ijtimak Perpaduan Ummah Rantau Asia di JKR 10 di sini semalam.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan seorang pemimpin Amanah yang menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali melakukan rombakan dalam pentadbiran negeri ekoran kemelut politik di antara PKR dan PAS di negeri itu.
 
Amanah turut memberi bayangan parti itu sudah bersedia mengambil alih jawatan Exco, kedudukan dalam anak-anak syarikat, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jawatan di peringkat akar umbi yang ketika ini disandang PAS.
 
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Exco dan ADUN dari PAS telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang tempoh perkhidmatan.
 
"Saya melihat tidak ada isu dari segi pentadbiran, rakyat menerima dengan baik, pentadbiran berjalan dengan baik dan pencapaian oleh semua Exco PAS juga sangat cemerlang.
 
"Bagaimanapun, apabila melibatkan soal parti khususnya hubungan antara PAS dan PKR, kita serah pada Majlis Syura untuk membuat keputusan apabila mengadakan perbincangan nanti. Pada masa ini, pentadbiran berjalan seperti biasa," katanya.
 
 

Tiada ulasan: