Jumaat, 5 Ogos 2016

Salah guna dewan beban masyarakat setempat

DSC_6797 kecil

OLEH LIZAWATI MADFA


SHAH ALAM: Tindakan parti komponen pembangkang menyalah guna dewan orang ramai sebagai hak milik parti menyusahkan komuniti setempat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei, berkata persatuan penduduk kadangkala terpaksa membayar sewa kepada parti politik untuk menggunakan dewan yang sepatutnya terbuka secara percuma kepada orang awam.

Katanya, tindakan itu tidak adil kepada penduduk selain memberi bebanan untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan.

“Seperti contoh di Bukit Rawang Jaya, Persatuan Penduduk membuat cadangan baik supaya dewan orang ramai diuruskan mereka tetapi masalahnya dewan di situ juga dipegang MCA.

“Kalau dilihat dari segi undang-undang, itu bukan sepatutnya prosedur yang perlu dilalui kerana dewan dibina di atas tanah kerajaan.

“Ia milik kerajaan dan hanya agensi kerajaan berhak untuk tadbir dan uruskan segala yang berkaitan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini

DSC_6816 kecil

Terdahulu, beliau mengiringi Exco Negeri, Ean Yong Hian Wah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suliman Abd Rahman melawat Dewan MCA Kampung Lee Kim Sai.

Pada 15 Oktober 2012, dewan berkenaan digazetkan sebagai suatu tapak untuk tujuan dewan orang ramai dan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Pei Nei berkata, siri rundingan secara baik sehingga kini tidak membuahkan hasil, malah parti politik berkenaan terus menduduki secara haram Dewan MCA Kampung Lee Kim Sai.

“Kita bertuah kerana Kerajaan Negeri menyediakan tempat berbumbung di sini, namun mesyuarat terpaksa diadakan di rumah anggota JKKK.

“Sepatutnya ini tidak berlaku kerana kita ada dewan orang ramai, namun tidak dapat digunakan kerana parti politik,” katanya.-AA-

Tiada ulasan: