Isnin, 1 Ogos 2016

Akta MKN tindas hak asasi manusia, kata AI .

MALAYSIAKINI


Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berkuat kuasa hari ini memberi kuasa kepada pihak berkuasa Malaysia untuk menindas hak asasi manusia dan bertindak sewenang-wenangnya, demikian menurut Amnesty International.

"Dengan undang-undang baru ini, kerajaan Malaysia kini menolak pemeriksaan dan memegang kuasa yang mungkin menjelikkan," kata Timbalan Pengarah Amnesty International bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Josef Benedict.

Undang-undang baru ini akan memberikan pihak berkuasa Malaysia kuasa untuk menjalankan tangkapan tanpa waran, menggeledah dan menyita harta selain mengenakan perintah berkurung, ujarnya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa 'penjaja ketakutan' bermotif politik sengaja menyalah tafsirkan akta MKN 2016.

"Kerajaan dikritik kerana meluluskan undang-undang ini, termasuk oleh sesetengah penjaja ketakutan demi kepentingan politik. Akta MKN terutamanya sengaja disalah tafsir," kata Najib dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, jelas Najib, undang-undang baru itu tidak sama dengan pengisytiharan darurat - seperti didakwa pengkritik - kerana kuasa masih berada di tangan Yang di-Pertuan Agong.

Tidak seperti ketika darurat diisytiharkan, parlimen masih tetap wujud dan mengawasi sebarang kawasan yang diisytihar berada dalam kawalan keselamatan.

Beliau juga mengulangi penegasan sebelum ini bahawa kerajaan tidak akan memohon maaf kerana menggubal undang-undang MKN yang dikatakannya bertujuan untuk mengutamakan keselamatan rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Benedict menambah, peruntukan di bawah Seksyen 18 akan membolehkan perdana menteri menetapkan mana-mana kawasan di negara ini sebagai 'kawasan keselamatan' jika dirasakan sebagai 'merbahaya'.

"Ada sebab yang baik untuk berasa takut akta ini akan menjadi satu lagi alat di tangan kerajaan untuk melumpuhkan protes aman di bawah nama keselamatan negara," kata Benedict.

Jelas beliau, status khas yang diberikan kepada 'kawasan keselamatan' boleh memburukkan lagi rekod Malaysia untuk hal kematian dalam tahanan dan kekejaman polis.

Di bawah Seksyen 35 pula, tambahnya, majistret dan koroner tidak perlu lagi menjalankan inkues terhadap kematian akibat operasi pasukan keselamatan dalam kawasan terbabit.

Akta berkenaan juga membolehkan pasukan keselamatan menggunakan kekerasan yang boleh membawa maut tanpa perlindungan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di samping memberikan kuasa yang luas untuk menjalankan tangkapan tanpa waran.


Tiada ulasan: