KUALA LUMPUR, Adakah pengecualian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pasukan petugas khas baharu yang mengendalikan siasatan dakwaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan kemungkinan elemen rasuah serta salah guna kuasa kini diketepikan?

Itu persoalan yang dibangkitkan badan pemerhati rasuah antarabangsa, Transparency International Malaysia (TI-M), menerusi kenyataan yang dikeluarkan Presidennya, Datuk Akhbar Satar pada Isnin.

“Terdapat banyak sebab untuk turut melibatkan SPRM dalam pasukan berkenaan memandangkan dakwaan dan persoalan yang membelenggu isu 1MDB adalah rasuah serta salah guna kuasa.

“Pengecualian SPRM adalah petunjuk kepada terma rujukan yang baru dalam National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) yang mengecualikan perkara tersebut disiasat?,” soal Akhbar yang pernah berkhidmat sebagai pengarah negeri dalam Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali sebagai SPRM.

Katanya lagi, pasukan petugas khas baharu yang menyiasat dakwaan skandal 1MDB dipercayai akan “kehilangan taring” tanpa penyertaan SPRM.

Dengan pengguguran SPRM daripada pasukan NRRET pihak berkuasa dilihat seolah sedang memanipulasi penyiasatan terhadap syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu, termasuk dakwaan kemasukan dana ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

“Jelas tanpa penyertaan SPRM, pasukan penyiasat ini hilang taringnya (atau mungkin tidak relevan) untuk menyelesaikan isu 1MDB dan akaun peribadi perdana menteri,” katanya.

Akhbar turut mempersoalkan tindakan melantik Peguam Negara yang baru, mengetuai pasukan petugas khas NRRET yang ditubuhan bagi menyiasat dakwaan terhadap 1MDB.

“Sesungguhnya amat mengejutkan apabila mengetahui pasukan baru itu diketuai oleh Peguam Negara yang baharu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali serta wakil daripada Bank Negara dan polis tetapi tanpa SPRM,”  katanya.

Beliau berkata, dalam pasukan petugas khas sebelumnya, peguam negara tidak mengawal siasatan, tetapi hanya memberikan nasihat dan input perundangan berhubung undang-undang di sekitar penyiasatan itu.

“Kini orang mula mempersoalkan kenapa peguam negara baharu mengambil alih peranan pasukan. Adakah beliau menentukan apa yang perlu dan tidak perlu disiasat atau bagaimana siasatan dilakukan?,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan tidak mencampuri urusan siasatan SPRM terhadap SRC International.
NRRET dilaporkan dianggotai 5 agensi iaitu Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, polis, Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Pasukan petugas khas asal dibubarkan pada awal Ogos sejurus selepas Apandi menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara.