Selasa, 4 Ogos 2015

" Rakyat waras pun tak boleh terima RM2.6 b adalah derma”

 
Kenyataan SPRM itu mengundang lebih banyak persoalan mengenai rasuah dan pecah amanah yang perlu disiasat.


rafizi,najib,derma



PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata tidak ada rakyat Malaysia yang waras boleh menerima penjelasan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima derma sebanyak RM2.6 bilion.

Ini kerana, katanya, derma yang menjadi bualan hangat itu boleh ditakrifkan sebagai suapan mengikut Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Seksyen 3 Akta SPRM menetapkan bahawa Najib adalah penjawat awam yang tidak dibenarkan menerima “suapan” dalam apa jua bentuk sekali pun.

“Takrifan “suapan” di bawah akta ini termasuklah hadiah dan derma apabila hadiah dan derma itu diberikan untuk mendapat balasan,” katanya dalam kenyataan media.

Ahli Parlimen Pandan menambah, kenyataan SPRM bahawa sejumlah RM2.6 bilion wang yang dipindahkan ke akaun peribadi Najib adalah derma politik mengundang lebih banyak persoalan mengenai rasuah dan pecah amanah yang perlu disiasat.

“Saya mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan rakyat Malaysia bahawa skop siasatan Pasukan
Petugas Khas yang dianggotai oleh SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara adalah untuk menyiasat secara keseluruhan urusniaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memastikan tidak ada pecah amanah atau salah guna kuasa.

“Kenyataan SPRM semalam tidak sedikit pun menjawab soalan-soalan penting yang perlu disiasat oleh Pasukan Petugas Khas yang bertanggungjawab kepada rakyat untuk merungkai semua persoalan mengenai 1MDB,” katanya lagi.

Justeru, beliau mengarahkan pimpinan PKR di seluruh negara dan di semua peringkat untuk membuat laporan kepada SPRM mendesak SPRM memulakan siasatan terhadap sumbangan politik itu mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009.

“Saya menjemput seberapa ramai rakyat Malaysia untuk turut sama membuat laporan SPRM untuk menyiasat mengenai sumbangan politik kepada Najib ini sebagai luahan rasa marah rakyat kepada perkembangan politik mutakhir,” jelasnya.

Tiada ulasan: