Khamis, 27 Ogos 2015

Kerajaan akan rangka kaedah bantu petani akibat penyusutan ringgit, kata Shabery



Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata walaupun petani di negara ini tidak menerima elaun sara hidup seperti nelayan, mereka tidak perlu bimbang kerana pihak kementerian akan sentiasa memikirkan sistem jaringan keselamatan untuk kebaikan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Ogos, 2015.Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata walaupun petani di negara ini tidak menerima elaun sara hidup seperti nelayan, mereka tidak perlu bimbang kerana pihak kementerian akan sentiasa memikirkan sistem jaringan keselamatan untuk kebaikan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Kerajaan akan merangka kaedah untuk membantu golongan petani yang mengalami tempias ekoran penyusutan nilai ringgit, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
 
"Walaupun petani di negara ini tidak menerima elaun sara hidup seperti nelayan, mereka tidak perlu bimbang kerana pihak kementerian akan sentiasa memikirkan sistem jaringan keselamatan untuk kebaikan mereka," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada warga kementerian bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Serdang hari ini, Shabery berkata kementeriannya akan memantau kenaikan harga terutama barangan keperluan yang perlu diimport seperti beras, daging dan baja.

Katanya kajian impak kenaikan dolar Amerika Syarikat (AS) terhadap sektor pertanian juga hampir siap dan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Ekonomi untuk melihat implikasinya sekiranya kejatuhan nilai ringgit berpanjangan. 
 
"Walaupun pengeluaran beras, ikan dan ayam adalah mencukupi tetapi kita juga perlu lihat kesan-kesan lain misalnya penggunaan peralatan mesin, baja yang diimport dan melihat import itu pada dolar AS," katanya.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan bahawa elaun sara hidup golongan nelayan darat sebanyak RM1,200 akan dihentikan berikutan penyusutan nilai ringgit.

Terdahulu, Shabery dalam amanatnya meminta warga kementerian mempertingkatkan jalinan kerjasama dan bergerak secara pasukan tanpa mengira kedudukan untuk memastikan kementerian kekal strategik dalam usaha membina benteng pertanian negara.

"Kita mahu meningkatkan keluaran industri pertanian dan saya tidak akan membenarkan mana-mana rakyat Malaysia miskin tanpa makanan di negara kita," katanya.

Shabery turut melancarkan sembilan aplikasi mudah alih atau dikenali sebagai Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) Apps yang bertujuan menyokong aktiviti pemindahan teknologi, kompetensi serta pengetahuan kepada petani, pengusaha pertanian dan penternakan.

Sembilan aplikasi itu ialah Mardi Doktor Cili, Mardi Manual Lebah Kelulut, Mardi Direktori Usahawan, Mardi Fertigasi Cili, Mardi Fertigasi Melon, Mardi Hidroponik Salad, Mardi Padi Aerob, Mardi Cendawan Tiram Kelabu dan Mardi MyKonsultan. – Bernama


Tiada ulasan: