Selasa, 11 Ogos 2015

Eksklusif: Teman sepermainan kongsi pengalaman membesar bersama Anwar

Oleh: NAZLI IBRAHIM


SHAH ALAM: Umumnya masyarakat negara ini mengenali Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang tokoh politik yang memiliki daya juang tinggi dalam memperjuangkan keadilan dan memerangi rasuah sekaligus menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik.

Menurut beberapa teman sepermainan Anwar di zaman kanak-kanak sempena ulang tahun kelahiran beliau ke-68 hari ini, kegigihan ditunjukkan Anwar hari ini bukan sesuatu yang baru tetapi sudah terserlah sejak beliau masih kanak-kanak lagi.
Anwar
Pak Tih, 68, atau nama sebenarnya Osman Ibrahim berkata, Anwar pernah menyatakan hasratnya untuk menjadi seorang Perdana Menteri yang memperjuangkan nasib rakyat miskin semasa beliau bersekolah di tingkatan dua lagi.

“Suatu hari masa di tingkatan 2, ketika subjek Physical Training (PT) saya dan beberapa rakan lain bersiap sedia untuk ke padang untuk bermain sofbol, ragbi atau sebagainya.

“Saya tengok Anwar masih tak bersiap, ‘dok’ tekun baca buku. Saya ajak Anwar bermain sama, apa nak jadi ‘hang’ ni Anwar, tak nak bersukan, marilah kita main sama, kata saya.

“Anwar jawab, ‘hang’ mainlah. Aku nak baca buku sebab suatu hari nanti aku nak jadi Perdana Menteri, kata dia dan kami ketawa kerana kami tak tahu pun apa makna Perdana Menteri,” kata Pak Tih kepada Selangor Kini.

Jelas beliu, Anwar bukan sahaja pernah menduduki kerusi nombor dua dalam hariki pentadbiran negara, malah pernah memangku jawatan Perdana Menteri.
11831733_616133311823282_2770055484438340919_n
Tambah Pak Tih, selain fokus terhadap apa yang diperjuangkannya, ketokohan Anwar juga sudah menyerlah berbanding kanak-kanak lain sehingga kerap menarik perhatian para guru.

“Dia kerap bertindak sebagai ketua semasa bermain. Contohnya kalau main pertandingan memasak dia akan jadi pengadil dan berusaha menyediakan hadiah yang biasanya berupa roti buku dan lain-lain.

“Dia juga cukup disayangi guru mengaji, ustaz, imam dan guru sekolah sehingga ada beberapa orang tua di kampung Cherok To’kun mengambil dia sebagai anak angkat,” kata beliau lagi.

Salah seorang guru yang pernah mengajar Anwar, Allahyarham Zainal Abidin juga mempunyai pengalaman menarik seperti yang dikongsikan anaknya, Mohd Zainizam Zainal Abidin, 40.

“Bapa saya cerita masa di darjah 2 lagi dia dah kesan Anwar adalah seorang yang istimewa, lain dari budak lain.

“Contohnya tulisan Anwar. Masa tu maklumlah budak darjah dua punya tulisan memang teruk tetapi Anwar punya tulisan memang dah ‘perfect’, dah macam orang dewasa.

“Seperkara lagi, tanyalah dia apa sahaja soalan, memang dia boleh jawab sehinggalah pada suatu hari, bapa saya usap kepala Anwar dan kata pada Anwar, hang ni, suatu hari nanti hang jadi Menteri dan Anwar ingat kejadian ini sampai sekarang,” kata Zainizam.

Zulkifly Saat, 57, yang juga sepupu kepada Anwar berkata, walaupun sama seperti budak kampung lain bermain, mandi kolam, mendaki bukit dan lain-lain Anwar cukup sensitif terhadap orang lebih dewasa terutama ibu, bapa dan guru.

“Beliau cukup marah kepada kami sekiranya kami tidak menghormati ibu bapa kami, guru-guru dan orang lebih dewasa. Salah satu tanda beliau sedang marah apabila telinganya jadi merah,” kata Zulkifly.

lagi, Anwar juga memiliki keperibadian yang cepat meninggalkan kesan di hati orang yang mengenali beliau.

“Masa menuntut di Universiti Malaya (UM), ramai tak tahu Anwar pernah menjadi guru sementara di sebuah sekolah aliran Cina iaitu Sekolah Persendirian Jit Shin.

“Walaupun hanya mengajar selama dua bulan di sekolah itu tetapi beliau sentiasa diingati selepas meninggalkan sekolah itu.

“Kalau imam-imam di Kampung ini, macam emak bapak dialah. Kalau balik, dia cuba luangkan masa cari. Dia punya sentuhan peribadi dengan orang kampung memang hebat,” kata Zulkifly lagi.EZY.


Tiada ulasan: