Khamis, 20 Ogos 2015

DUN Selangor terima usul tangguh DEIG

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz


Post Pic


SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menerima usul untuk menangguh sementara waktu operasi Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG).

Speaker, Hannah Yeoh berkata demikian ketika meminta pengesahan daripada kesemua ADUN baik daripada barisan pembangkang dan kerajaan bagi usul yang dikemukakan oleh ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Tengah hari tadi, Saari mengemukakan usul supaya Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menangguhkan terlebih dahulu operasi DEIG selama enam bulan.

Susulan itu, usul tersebut kini menjadi Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-Abas) sebagai kertas mesyuarat bilangan 48, tahun 2015.

"Ahli-ahli Yang Berhormat tidak bersetuju dengan usul ini sila berdiri. Usul ini dipersetujui," katanya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Dalam perkembangan yang sama, Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata akan memberi jawapan bertulis bagi memerinckan kandungan penubuhan DEIG.

Malah beliau memberi jaminan DEIG yang ditubuhkan akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri Selangor di samping menegaskan DEIG akan tetap diteruskan.

"Saya mengambil tanggungjawab untuk memastikan saranan dan syor yang dikemukakan dalam konteks untuk mewujudkan akauntabiliti, kebertanggungjawaban, memang akan menjadi asas DEIG.

"Dan saya akan memberikan jawapan secara bertulis kepada jawatankuasa untuk memberi jaminan ini dan saya harap hasrat dan cita-cita murni kerajaan ini akan dapat kejayaan supaya rakyat pada akhirnya mendapat nikmat di atas usaha ini," katanya.

Penubuhan DEIG mengejutkan banyak ADUN ekoran tiada keperincian kandungan dokumennya.

Malah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri mewujudkan sebuah entiti pelaburan baru di bawah Menteri Besar Incorporated.

Bekas Menteri Besar itu mendakwa, DEIG akan menimbulkan lagi masalah urustadbir, termasuk ketidaktelusan dalam hal kewangan, memandangkan ia bebas dari diaudit.

Selain Khalid, ADUN Umno dari Sungai Panjang, Budiman Zohdi turut menyelar tindakan menubuhkan DEIG yang disifatkannya menambahkan lagi kecelaruan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Azmin.

Katanya, kerajaan Selangor sepatutnya memperkemaskan pentadbiran MBI yang sedia ada tanpa perlu menubuhkan satu lagi entiti baru.

Tiada ulasan: