Selasa, 11 Ogos 2015

DAP percaya Pakatan baru mampu tarik sokongan Melayu

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua percaya pakatan baru yang bakal ditubuhkan akan menarik sokongan orang Melayu di Johor, Melaka dan Perak meskipun Pakatan Rakyat sedang berdepan dengan krisis dalaman. 
 
Ujarnya dengan penyertaan Gerakan Harapan Baru (GHB), ia tidak menjejaskan pengundi Melayu kelas pertengahan di barat dan selatan Semenanjung, malah sokongan kepada pemimpin progresif Islam lebih baik ditunjukkan berbanding puak konservatif.
 
“Penyokong Umno mungkin juga sanggup mengundi progresif berbanding konservatif. PAS sendiri tidak cemerlang di negeri tersebut sejak berdekad lalu.
 
“Jadi dengan perikatan baru, kami harap akan melakukan lebih baik tanpa tentangan seperti dalam Pakatan Rakyat (PR).
 
“Kami mencari kemenangan ke Putrajaya melalui sokongan dari Johor, Perak dan Selangor,” katanya yang dipetik The Malaysian Insider.
 
Kata Pua lagi, DAP tidak berhajat untuk memanjangkan langkahnya ke Kelantan atau Terengganu kerana pengundi di dua negeri itu cenderung menyokong puak konservatif PAS.
 
Kenyataannya itu berikutan perkembangan dalam PAS di mana sebahagian pimpinannya membentuk GHB dalam persediaan membentuk parti Islam baru.
 
GHB dibentuk pemimpin progresif PAS yang kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini.
 
Parti yang ingin ditubuhkan GHB dijangka bakal menggantikan PAS dalam perikatan pembangkang baru bersama DAP dan PKR selepas PR menamatkan kerjasamanya ekoran terputus hubungan PAS dan DAP.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad memberitahu GHB mungkin akan meletakkan calon mereka di Kelantan dan Terengganu walaupun mengetahui ia adalah keputusan yang berisiko.
 
"Kami mendapat respons positif kepada program yang diadakan di Kelantan dan Terengganu," katanya pada forum itu.
 
Tindakan itu dilakukan supaya rakyat boleh membuat keputusan samada mahu kekal dengan kerajaan lama atau memilih perikatan baru.
 
"Dalam pilihan raya akan datang, pengundi akan diberi pilihan di antara dua parti bertanding yang akan membentuk kerajaan persekutuan.
 
"Rakyat akan memilih untuk kerajaan baru atau kekal dengan yang lama. Jika PAS bersama BN, ia merupakan kerajaan lama.
 
"Jika PAS bersendirian, rakyat akan tahu ia akan tetap pembangkang kerana ia tidak mampu menjadi kerajaan sendiri," katanya.
 
 

Tiada ulasan: