DUNGUN - Lahir dan membesar di Malaysia, namun kehidupan sebuah keluarga dari Kampung Lentang, di sini, ibarat pelarian di tanah air sendiri kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta taraf kewarganegaraan tidak diiktiraf.

Menurut ketua keluarga tersebut, Awang Abdullah, 51, masalah itu berlaku apabila dia mengahwini isterinya, Hamidah Jusoh yang berasal dari Thailand, yang mana upacara akad nikah mereka berlangsung di negara jiran itu.

Menurut Awang, kerana tidak didaftarkan di negara ini, perkahwinan mereka tidak diiktiraf sekali gus mendatangkan masalah pendaftaran sijil kelahiran anak-anak mereka.

"Empat anak saya tiada sijil kelahiran manakala dua lagi mempunyai sijil kelahiran tetapi statusnya adalah anak tidak sah taraf dan dibin/bintikan dengan nama Abdullah," katanya.

Awang memberitahu, dia dan Hamidah berkahwin pada kira-kira 30 tahun lalu dalam usia terlalu muda dan empat anaknya yang berusia 21 hingga 29 tahun dilahirkan dengan bantuan bidan kampung.

"Saya berasal dari Kampung Dendang dan mempunyai taraf warganegara serta kad pengenalan.

"Hamidah datang ke Malaysia untuk bekerja dan kami hanya ke Thailand untuk kahwin, kemudian pulang semula ke negara ini," katanya menceritakan kisah perkahwinan mereka.

Tidak fikir panjang

Awang mengakui dia dan Hamidah tidak berfikir panjang semasa melangsungkan perkahwinan terutama berkenaan masalah yang timbul sekarang dan kesannya amat membebankan.

"Dua anak kami berusia 15 dan 12 tahun lahir di Hospital Dungun dan ada sijil kelahiran, tetapi tidak dapat didaftarkan sebagai anak saya kerana tiada surat nikah.

"Kami ada surat nikah di Thailand tetapi terdapat sedikit kecelaruan identiti menyebabkan pendaftaran nikah di negara ini menghadapi masalah. Kami sudah ke pejabat berkaitan tetapi permohonan tidak dapat diproses kerana dokumen diperlukan tidak
lengkap," katanya.

Awang berkata, ketiadaan sijil kelahiran dan kad pengenalan menyebabkan kesemua anaknya tidak dapat bersekolah dan kehidupan mereka terpinggir

"Anak-anak saya jadi mangsa keadaan serta dilayan seperti warga asing ketika ingin mendapatkan khidmat di mana-mana agensi kerajaan termasuk hospital.

"Dua anak saya, Norliana Najwa, 27 dan Mazila, 23, sudah berkahwin dengan pemuda tempatan, tetapi perkahwinan mereka terpaksa dilangsungkan di Thailand kerana sukar dilaksanakan di negara ini," katanya.

Tidak bersekolah

Menurut Awang, ketika mahu mendaftarkan anak sulungnya, Mohd Ridhuan, 29, ke sekolah, permohonan ditolak kerana dianggap bukan warga negara dan sejak itu, dia tidak lagi menghantar anak-anaknya ke sekolah termasuk dua anak yang mempunyai sijil kelahiran.

"Anak-anak saya boleh membaca selepas belajar dengan rakan-rakan. Saya tidak tahu bagaimana mahu mengatasi masalah ini dan saya risau jika keadaan ini berterusan masa depan anak-anak saya gelap," katanya.

Sementara itu, Norliana Najwa berkata, ketiadaan kad pengenalan memaksanya melangsungkan perkahwinan di Thailand dan kini, dia bersama suaminya, Rozeri Abd Razak, 50, telah mempunyai dua anak.

Katanya, masalah tersebut turut menyebabkan dia terpaksa membayar beribu ringgit untuk mendapatkan rawatan bersalin kerana dianggap sebagai warga asing.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana kedua-dua anak saya, Ahmad Qausar Rahimi, 2, dan Nor Batrisya, empat bulan diberikan sijil kelahiran dan taraf warganegara Malaysia.

"Kami dah cuba daftar perkahwinan di sini tetapi gagal kerana memerlukan kad pengenalan saya. Adik saya, Mazila yang juga berkahwin dengan lelaki tempatan, turut menghadapi masalah sama. Dia juga telah dikurniakan dua cahaya mata," katanya.

Hasrat kahwin terbantut

Sementara itu, Mohd Ridhuan memberitahu, hasratnya mendirikan rumah tangga sentiasa terbantut berikutan ketiadaan kad pengenalan dan dia juga tidak dapat bekerja seperti rakan-rakannya.

"Sudah tiga kali saya putus hubungan ketika hampir ke jinjang pelamin. Apabila ibu bapa pasangan saya tahu saya tiada kad pengenalan mereka bantah hasrat kami untuk membina rumah tangga.

"Berkenaan kerja, saya hanya mampu buat kerja kampung kerana masalah tersebut. Saya juga tidak dapat ambil lesen memandu," katanya.

Bantu ikut saluran tertentu

Sinar Harian cuba mendapatkan pandangan Ketua Pembangunan Masyarakat Daerah Dungun, Din Adam berhubung masalah keluarga ini dan respons yang diterima adalah, beliau akan meneliti kes tersebut serta akan berusaha membantu mengikut saluran tertentu.

Din memaklumkan telah bertemu ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan untuk bertanya perihal keluarga itu.

"Kita akan lihat taraf sebenar keluarga itu dan cari penyelesaian mengikut saluran sepatutnya. Masalah atau punca sebenar akan dikenal pasti.

"Kepada keluarga berkenaan, saya nasihatkan agar mereka melengkapkan segala dokumen diperlukan pejabat agama dan pejabat pendaftaran," katanya.

Beliau turut berharap agar agensi berkaitan membantu dalam memberi nasihat atau langkah perlu dilakukan oleh keluarga ini dalam menangani masalah mereka kerana mereka mungkin kurang menerima pendedahan atau pengetahuan mengenai perkara sebegini.