SHAH ALAM - Tindakan kerajaan yang didakwa cuba menyembunyikan kenaikan tol daripada pengetahuan umum dianggap sebagai satu pengkhianatan kepada kepercayaan rakyat.

Demikian kata Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin sambil menemplak kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan pihak yang membocorkan maklumat itu pula sebagai pengkhianat sedangkan kerajaan perlu telus dalam semua dasar dan polisi.

“Pihak kerajaan sudah mengkhianati rakyat kerana menyembunyikan kontrak konsesi tol selama ini. Sehingga kini tiada sesiapa yang mengetahui kontrak-kontrak konsesi tol dan semua diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Syarat-syarat kontrak tol amat memihak kepada syarikat-syarikat tol yang kebanyakkan kroni Umno-BN. Ini menyebabkan rakyat tertekan dengan kenaikan tol yang berulang-ulang setiap dua tahun,” katanya dalam satu keyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, isu kenaikan kadar baharu tol hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet dalam beberapa minggu akan datang.

Beliau menegaskan, apa juga kebocoran maklumat yang keluar dari Kabinet masih belum dimuktamadkan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kadar tol ditentukan dalam mesyuarat akan datang]

Dalam pada itu, beliau selaku Ahli Parlimen Bayan juga berkata kadar kenaikan tol didakwa mungkin berlaku pada beberapa konsesi tol dan sebahagiannya pula akan dibayar pampasan dengan menggunakan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Saya juga menjangkakan, jika kerajaan ingin menghentikan segala kenaikan tol kerana takut kepada kemarahan rakyat, kerajaan akan terpaksa menggunakan kutipan GST untuk membayar syarikat tol.

“Jika kerajaan ingin menggunakan wang GST untuk membayar syarikat tol, mereka harus “declassified” kontrak konsesi. Biar rakyat tahu wang GST yang mereka bayar digunakan di mana dan bagaimana. Pembayar GST menuntut ketelusan dan akauntabiliti dalam penggunaan wang cukai GST,” katanya lagi.