Jumaat, 26 Jun 2015

Saman Najib terhadap Harakah berhubung 1MDB didengar 7 Oktober

BERNAMA

 

gavel-m11-Jun
Saman fitnah yang difailkan Najib terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung isu 1MDB akan mula didengar pada 7 Oktober ini.



KUALA LUMPUR-  Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan tujuh hari, bermula 7 Oktober ini untuk mendengar saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng menetapkan tarikh itu dalam kamarnya, dengan kehadiran peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar As-Sidek dan Nor Emilia Iszeham yang mewakili Najib, serta Mohamed Hanipa Maidin bagi Harakah dan Harakahdaily.

Mohd Hafarizam ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah turut menetapkan 13 Julai ini untuk mendengar permohonan Najib, bagi membuang dua perenggan dalam pernyataan pembelaan, berkaitan dakwaan ulasan adil dan perlindungan bersyarat yang difailkan defendan.

Dalam saman yang difailkan pada 18 Mac lalu, Najib menamakan Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Harakahdaily, Taufek Yahya sebagai defendan.

Ia membabitkan penerbitan artikel yang ditulis Rosli pada 19 Februari lalu, berkaitan isu dana 1MDB.

Menerusi pernyataan tuntutan, Najib berkata, artikel itu mengandungi perkataan fitnah yang menggambarkan beliau telah menyalahgunakan dana 1MDB.

Oleh itu, katanya, penerbitan artikel berkenaan telah menjejaskan reputasinya dan mengakibatkan beliau dikecam dalam media sosial dan media massa.

Najib turut mendakwa Taufek gagal mengamalkan ‘kewartawanan bertanggungjawab’ (responsible journalism), dengan tidak mengesahkan kebenaran perkataan ditulisnya, sebelum menerbitkan artikel itu.
Perdana Menteri mendakwa, defendan sengaja menerbitkan artikel fitnah itu bagi meneruskan agenda tersendiri, untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya.

Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah serta injunksi untuk menghalang defendan atau pembantu mereka daripada menerbitkan artikel berkenaan.
Ingin menambah sesuatu pada laporan ini? Sila maklumkan melalui komen di bawah.

Tiada ulasan: