Rabu, 17 Jun 2015

RUU hudud tidak sempat dibahas sidang Parlimen kali ini

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian pelaksanaan hudud di Kelantan mungkin tidak sempat dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini.
 
Ini kerana RUU itu tersenarai pada kedudukan ke 28, iaitu usul terakhir dalam kertas perintah, walhal sidang  berkenaan berbaki lagi dua hari.
 
Setakat ini, sebanyak 12 RUU lagi belum dibahas Parlimen.
 
RUU pelaksanaan hudud difailkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
RUU itu bertujuan untuk meminda undang-undang persekutuan, Akta Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) yang selama ini menghalang Kelantan melaksanakan hudud di negeri itu, meskipun undang-undang Islam itu sudahpun termaktub dalam Perlembagaan Negara sejak 1993.
 
Pindaan akta itu hanya memerlukan majoriti mudah dan tidak perlu mendapatkan sokongan 2/3 dewan.
 
Selepas memfailkan notis RUU hudud di Parlimen, DAP bertindak memutuskan hubungan dengan Hadi atas alasan membelakangkan Pakatan Rakyat selain menuduh Ahli Parlimen Marang itu sebagai seorang pemimpin yang tidak amanah.
 
Hubungan Hadi dan DAP semakin keruh apabila Dewan Ulama PAS meluluskan usul 'putus hubungan dengan DAP', sekaligus mempertahkan presidennya.
 
Bagaimanapun usul itu belum muktamad dan akan diputuskan Majlis Syura Ulama.
 
 

Tiada ulasan: