Rabu, 17 Jun 2015

PKR S'gor mahu kekal kerjasama PAS, DAP

MALAYSIAKINI


 


Walau Pakatan Rakyat sudah berkubur, PKR tetap berusaha untuk mengekalkan dominasinya ke atas kerajaan Selangor dan juga kerjasama PAS dan DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Satu sumber dalam kerajaan negeri memberitahu Malaysiakini, strategi serampang dua mata ini dirancang bagi mengekalkan pentadbiran kerajaan Selangor sedia ada.

Difahamkan, ia merupakan tujuan kunjungan Menteri Besar Azmin Ali ke Kelantan bagi bertemu pemimpin PAS.

Ia merupakan intipati kepada mesyuarat biro politik PKR pada malam tadi, yang tidak didedahkan kepada pemberita, kata sumber.

Pemimpin utamanya termasuk presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya melemparkan senyuman kepada para wartawan yang menunggu sehingga mesyuarat berakhir lewat malam.

Setiausaha agungnya, Rafizi Ramli pula hanya mengesahkan bahawa mesyuarat itu sudah mencapai keputusan.

“Namun ia tidak akan diberitahu malam ini,” katanya yang menambah, ia merupakan keputusan positif.

Sementara itu, laporan Sinar Harian memetik kenyataan Azmin yang mengulangi pendirian PKR bahawa kesemua parti perlu mengakui masalah yang timbul dan menghadapinya dengan bijaksana.

Pendirian PKR itu, seperti yang dinyatakan Wan Azizah, Isnin lalu bertujuan untuk mengukuhkan gabungan progresif antara parti, mengikut dasar bersama Pakatan Rakyat.

Kenyataan ini dibuat sebelum pengumuman setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng semalam bahawa kerjasama antara Pakatan Rakyat kini sudah tamat.


Tiada ulasan: