KUALA LUMPUR:  Syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menjelaskan, pinjaman sebanyak USD150 juta kepada 1MDB oleh Export-Import Bank of Malaysia (EXIM) digunakan seperti mana yang telah dinyatakan di dalam terma perjanjian.

 

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Arul Kanda, berkata, secara sedia maklum bahawa Kumpulan 1MDB turut merangkumi Edra Energy, salah sebuah syarikat penjana kuasa bebas terkemuka antarabangsa dengan portfolio 13 stesen janakuasa elektrik dan penyahgaraman di lima buah negara.

 

“1MDB mengesahkan bahawa pinjaman tersebut digunakan sepertimana yang telah dinyatakan di dalam terma-terma perjanjian, iaitu untuk ‘pembiayaan hal-hal korporat umum termasuk tetapi tidak terhad kepada keperluan modal kerja, perbelanjaan modal masa depan dan suntikan ekuiti untuk perniagaan tenaga di dalam Kumpulan Syarikat 1MDB’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, merujuk kepada satu kenyataan yang dibuat hari ini oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah tulisan blog, Arul berkata, ini adalah lanjutan daripada penerbitan dua tulisan blog sebelum ini oleh Tun Mahathir yang mengandungi beberapa kesilapan fakta mengenai 1MDB, yang mana pihak syarikat telah segera memberikan maklum balas secara terperinci dan dengan fakta yang disahkan.

“Kini, setelah dibentangkan dengan fakta oleh 1MDB, Tun Mahathir telah meminta bukti dalam bentuk dokumen. Seperti yang telah dijelaskan oleh 1MDB, kesemua bukti berkaitan perniagaan dan transaksi kewangan 1MDB telahpun dibentangkan kepada juruaudit bebas dan pihak-pihak berkuasa Malaysia yang berkenaan. Pihak berkuasa ini seterusnya akan bertindak, mengikut proses yang sewajarnya dan mengikut undang-undang negara.

“Walaupun, 1MDB tetap fokus sepenuhnya terhadap pelaksanaan pelan rasionalisasi syarikat. Seperti yang telahpun dicapai melalui Edra Energy, pelan ini akan menyaksikan TRX dan Bandar Malaysia menjadi syarikat bebas yang bertanggungjawab penuh terhadap prestasi operasi dan kewangan mereka.

“Pembayaran balik pinjaman RM3.6 bilion baru-baru ini mencerminkan komitmen 1MDB untuk mengurangkan tahap hutang keseluruhannya dan dengan pelaksanaan pelan rasionalisasi ini, pihak syarikat yakin dapat menjana nilai maksimum untuk pemegang 100 peratus saham syarikat iaitu Kerajaan Malaysia,” katanya.