Khamis, 4 Jun 2015

PGA kawal kem tahanan Lubuk Sireh

MALAYSIAKINI


 


Kawasan kem tahanan Lubuk Sireh (Perlis) dikawal rapi Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membolehkan kerja fasa kedua menggali kubur mangsa sindiket pemerdagangan manusia dijalankan.

Media Malaysia yang melakukan tinjauan melalui laluan Ban Ta Lok di Padang Besar mengambil kira-kira sejam untuk mendaki bukit sebelum sampai di batu sempadan Malaysia yang dipagar dengan kawat duri.

Dari batu sempadan itu, kedengaran bunyi pokok ditebang apabila kumpulan media semakin menghampiri hutan simpan Perlis itu yang dikatakan menjadi laluan pihak forensik dan polis bagi memasuki kawasan kem transit berkenaan.

Namun kehadiran 10 wartawan itu disedari anggota PGA yang sedang bertugas dan mereka dinasihatkan supaya keluar dari kawasan tersebut dan turut diiringi keluar sehingga ke batu sempadan.

Seorang pegawai PGA yang enggan dikenali berkata keseluruhan kawasan berkenaan dari batu sempadan Thailand di Ban Ta Lok hingga kaki bukit Wang Kelian merupakan kawasan larangan.

"Media tidak dibenarkan masuk atas faktor keselamatan dan kawasan ini adalah kawasan larangan," katanya yang mengiringi media keluar.

Operasi menggali fasa kedua dijangka bermula semalam namun menurut pegawai PGA tersebut, pihaknya kini dalam proses mendirikan kem sementara untuk pasukan pertugas forensik dan polis.

Menurutnya operasi menggali dijangka selesai sebelum 8 Jun ini.

Pada sebelah pagi, kumpulan media berkumpul di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar bagi meninjau persiapan pasukan polis dan forensik bagi operasi menggali, bagaimanapun mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.

Tinjauan di IPD Padang Besar pada pukul 9 pagi mendapati pihak polis sedang memuat peralatan menggali dan keperluan asas ke dalam enam buah kenderaan 'Landrover Defender' sebelum bertolak melalui pintu sempadan Thailand di Padang Besar.

Perjalanan dari kaki bukit melalui perkampungan Ban Ta Lok mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke sempadan Malaysia-Thailand yang akan digunakan polis Malaysia untuk operasi menggali.

Sebelum ini pihak polis mendedahkan satu lagi kem transit kedua yang dikatakan yang terbesar terletak di hutan simpan Mata Ayer, Lubuk Sireh dan mereka turut mengenal pasti 91 buah kubur di kawasan tersebut.

Laluan ke kem itu dikatakan lebih mudah melalui pintu Thailand kerana kawasannya terletak hanya kira-kira 100 meter dari sempadan dan tidak securam laluan di Wang Kelian.

Sementara itu, operasi menggali 91 buah kubur fasa kedua di Hutan Simpan Mata Ayer, Lubuk Sireh, Perlis diteruskan semula hari ini selepas dihentikan dua hari berikutan kekurangan bahan bantuan.

Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail berkata operasi di kawasan yang terletak kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand itu melibatkan lebih 90 anggota polis dengan beberapa kelengkapan termasuk barangan logistik, makanan, minuman dan khemah telah dihantar ke kawasan itu.

Operasi melibatkan Laluan Ban Talok selepas pihak berkuasa Thailand membenarkan laluan itu digunakan pihak Malaysia untuk proses membawa turun mayat.

Dalam pada itu, seorang pesara Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dikenali PakLan memberitahu Bernama bahawa Pulau Pinang mungkin menjadi hab pemerdagangan manusia.

Beliau berkata dalam operasi yang dijalankan dari tahun 1996 hingga 2003, sekurang-kurangnya dua atau tiga pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh ditangkap.

Sindiket yang melibatkan tekong darat itu dikatakan menggunakan bahasa isyarat 'Penang' untuk memanggil keluar pelarian yang bersembunyi di beberapa jalan tikus.

Setakat ini, 35 mayat dipercayai mangsa aktiviti pemerdagangan manusia telah digali semula dari Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis sejak kem-kem transit dijumpai Isnin lepas dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk proses patologi.

Ia adalah sebahagian rangka manusia yang dikeluarkan dari 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang diwujudkan oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Perlis-Thailand. -  Bernama


 

Tiada ulasan: