Jumaat, 26 Jun 2015

PERKASA: Jika benar, hukum 'beruk' terlibat

MALAYSIAKINI


 


PERKASA membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan isu dakwaan pembelian hartanah melebihi harga pasaran di Australia oleh MARA Inc seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Age dan portal-portal berita di negara ini.

Setiausaha Biro Pemantauan dan Integriti PERKASA, Azrul Akmal Saharudin berkata biro itu memandang serius perkara itu kerana MARA adalah sebuah agensi yang sangat dekat dengan orang Melayu dan Bumiputera di atas peranannya dalam memperkasakan ekonomi serta pendidikan orang Melayu dan Bumiputera.

"Tentunya peranan yang dimainkan oleh MARA sebagai payung kepada orang Melayu dan Bumiputera dalam memajukan diri dalam bidang pendidikan,  keusahawanan dan sosioekonomi amat dicemburui oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu memusnahkan MARA," katanya yang juga  ahli Dewan Tertinggi PERKASA.

Beliau menegaskan bahawa PERKASA akan mempertahankan MARA dan "kita akan menjadi benteng dari serangan musuh yang mahu merosakkan nama baiknya walaupun di kalangan orang Melayu sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

"Kita memandang isu ini pada dua sudut yang berbeza.  Pertamanya,  selepas keputusan siasatan SPRM diperoleh, jika dakwaan ini adalah palsu dan berniat jahat untuk memburukkan nama baik MARA,  maka wajarlah tindakan keras dan saman dikenakan terhadap pihak-pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu ini.

"Namun jika dakwaan ini disahkan kebenarannya,  maka "beruk-beruk" yang terlibat yang dikatakan terdiri daripada pegawai-pegawai tinggi MARA dan bekas ahli politik, haruslah dihukum dengan sekeras-kerasnya.

"(Ini) kerana mereka bukan sahaja melakukan jenayah, malah mereka telah melakukan perkhianatan yang jelas terhadap orang Melayu dan Bumiputera," tegasnya.

PERKASA, tambahnya, tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat hak-hak orang Melayu  dan bumiputera dan "kita akan mempertahankan MARA walau apa aral melintang". 


Tiada ulasan: