Rabu, 24 Jun 2015

Pengerusi MARA beri kenyataan rasmi esok

MALAYSIAKINI


 


Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai laporan yang mendakwa berlaku penipuan dalam pembelian hartanah RM65 juta di Australia.

Buat masa ini, katanya, beliau belum boleh menjawabnya.

"Kita tak boleh kata ya, atau tak boleh kata tidak. Tapi esok saya akan beri satu kenyataan rasmi," katanya.

Annuar berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan itu semasa sidang media di ibu pejabat MARA sekitar jam 10 pagi esok.

Beliau juga berkata, pihaknya menyedari mengenai dakwaan tersebut dan "... terdapat perkara-perkara tertentu yang kami boleh umum esok."

Secara berasingan, Mara memberitahu Malaysiakini dalam pertukaran emel yang ia akan mengeluarkan kenyataan akhbar rasmi mengenai perkara itu lewat hari ini.

Laporan akhbar Australia, The Age, mendakwa pegawai-pegawai tinggi kerajaan Malaysia dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan RM65 juta dana awam untuk membeli sebuah blok apartmen di Melbourne, Australia, dengan membayar harganya RM13.7 juta lebih tinggi, yang kemudiannya didakwanya untuk membayar sogokan.

The Age, yang membuat dakwaan itu dalam laporan eksklusif hari ini, juga mendakwa penglibatan MARA, sebuah agensi pelaburan kerajaan, yang membeli hartanah itu pada 2013.

Apartmen asrama pelajar yang dibeli oleh MARA itu dikenali sebagai blok apartmen Dudley International House, yang terletak di pinggir bandar Caulfield.


Tiada ulasan: