KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad, (KTMB) hari ini memberikan lebih 1,050 tiket kereta api KTM Antara Bandar dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) secara percuma kepada penumpang yang bertuah.


Menurut Presiden KTMB, Lt. Kol. Sarbini Tijan, tiket percuma tersebut diberikan kepada penumpang yang ingin pulang beraya ke Padang Besar, Singapura atau Ipoh dari Kuala Lumpur Sentral.

Menurutnya, tiket tersebut adalah merupakan hasil tajaan bersama Permanis Sandilands Sdn. Bhd. sempena kempen Eratkan Jalinan Tropicana Twister.

“Tiket percuma tersebut diharapkan dapat memberikan peluang kepada orang ramai untuk pulang beraya bersama ahli keluarga.

“KTMB juga mengharapkan kerjasama seperti ini juga dapat diteruskan pada masa hadapan yang mana ia sememangnya memberi faedah yang baik kepada rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Permanis Sandilands Sdn. Bhd, T. Santharuban berkata pihaknya memperuntukkan 676 keping tiket untuk perjalanan ETS ke Ipoh bagi 14 dan 15 Julai depan.

Jelasnya, 172 keping tiket pula disediakan untuk mereka yang ingin pulang ke Johor Bahru dan 172 keping lagi ke Padang Besar menaiki KTM Antara Bandar.

“Untuk tujuan ini, kami memperuntukan antara RM15,000 hingga RM20,000 untuk menyediakan tiket-tiket tersebut.

“Bagi menceriakan lagi perjalanan para penumpang, kami juga beberapa menyediakan program menarik seperti persembahan busking dan pertandingan karaoke,” ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang pemenang tiket berkenaan, Nor Aziah Abdul Aziz, 27 berkata dia bersyukur apabila mendapat tahu bahawa telah memenangi tiket berkenaan.

“Saya berasa lega apabila telah mempunyai tiket untuk pulang ke kampung memandangkan cukup sukar untuk membeli tiket ke Ipoh pada ketika ini,” katanya yang akan pulang ke kampung pada 15 Julai depan.

Manakala bagi Amran Khaladi Suliman Atoriy, 27 berkata dia terkejut apabila diberitahu boleh mendapatkan tiket secara percuma di Kuala Lumpur Sentral.

Jelasnya, dia datang secara rawak sahaja untuk mendapatkan tiket untuk kakaknya dan secara kebetulan pihak KTMB mengatakan terdapat tiket percuma untuk ke Ipoh, Perak.

“Terima kasih kepada pihak KTMB yang memberikan saya peluang untuk pulang berhari raya tanpa perlu berebut-rebut pada saat-saat akhir,” ujarnya.