Isnin, 22 Jun 2015

Ramadan bulan ‘counter-culture'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Manusia adalah subjek kepada persekitaran yang selalu berubah. Ada orang menganggap kebebasan bererti dia bebas melakukan apa sahaja.

Tapi persoalannya, apakah kita bertindak berdasarkan apa yang kita mahukan?

Bulan Ramadan merupakan bulan budaya saingan (counter-culture) yang mempengaruhi kita untuk berubah dari bulan-bulan sebelum ini.

Masjid yang menjadi muzium mula dipenuhi jemaah, Muslimin mula menutup aurat, laman sosial mula dipenuhi dengan nasihat, dan banyak rancangan televisyen berbentuk dakwah.

“Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (Ramadan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa.” (al-Baqarah:183)

Ayat al-Quran di atas jelas menunjukkan amalan berpuasa sudah lama diwajibkan kepada umat sebelum kedatangan Islam.

Menurut Reza Aslan dalam buku “No God but God”, Nabi Muhammad pada awalnya menyeru pengikut baginda berpuasa pada bulan pertama mengikut kalendar Yahudi.

Orang Yahudi merayakan bulan ini sebagai Yom Kippur.
Kita suka mencari justifikasi perintah Allah dari sudut saintifik dan menganggap berpuasa untuk kesihatan.

Tiada siapa menahan lapar di siang hari kerana menjaga kesihatan melainkan ia datang dari nasihat doktor.

Perintah berpuasa adalah untuk melawan sifat negatif dalam diri sendiri.

Diserang budaya konsumerisme

Dalam esei Ali Syariati berjudul “The Free Man and Freedom of the Man” (Manusia bebas dan kebebasan manusia) menyebut manusia ini bersifat dualiti.

Manusia dicipta dari dua dimensi iaitu lumpur yang bersifat kotor dan roh yang bersifat suci. Perlawanan antara dua kutub menjadi cabaran untuk manusia.

Motif utama berpuasa adalah untuk melawan diri sendiri untuk menjadi lebih positif.

Berpuasa di bulan Ramadan bukan satu ibadah yang bersifat peribadi kerana kita juga dibolehkan berpuasa di bulan-bulan yang lain.

Tetapi bulan Ramadan membentuk satu horizon yang menyatukan ummah dengan konsep solidariti.

Bulan Ramadan adalah persepakatan ummah memperingati nasib saudara mereka yang kurang bernasib baik.

Kita berpuasa untuk melawan nafsu berebut kuasa sesama sendiri, berpuasa untuk solidariti tahanan pejuang Palestin yang mogok lapar, berpuasa untuk mangsa krisis makanan di Afrika, mangsa pemulauan di Ronghiya, mangsa perang di Syria, dan seluruh umat manusia yang tidak bernasib baik.

Dengan semangat persaudaraan yang tulen ini kita memahami maksud hidup dalam satu komuniti.

Komuniti yang merasakan talian persaudaraan akan lebih berkasih-sayang, bermaaf-maafan, dan bersedekah antara satu sama lain. Inilah falsafah Ramadan.

Bulan Ramadan tidak terkecuali diserang budaya konsumerisme. Pertukaran budaya yang dramatik di bulan Ramadan memudahkan kapitalis untuk mempengaruhi cara kita berbelanja.

Maka sia-sialah kita

Kapitalis berjaya mempergunakan agama untuk mencari untung. Mereka mengguna budaya Arab dan hadis Rasulullah untuk melariskan barangan mereka.

Budaya konsumerisme mengajar manusia menilai kebahagiaan melalui pemujaan kebendaan. Syed Qutb berpendapat manusia mempunyai pancaindera ke-6 iaitu sifat kehambaan.

Jika kita tidak menjadi hamba kepada Allah, kita bakal menjadi hamba kepada material.

Komuniti yang menyembah material hidup akibat dari pengaruh persekitaran. Di sinilah muncul persoalan apakah kita bebas kerana kita mahu apa yang kita mahu atau kita bebas kerana kita tahu apa yang kita mahu.

Pusat membeli-belah didendang lagu raya berjaya mempengaruhi kita untuk berbelanja besar dengan slogan “setahun hanya sekali”.

Kita sanggup beratur panjang untuk membeli tudung hanya kerana ia tawaran terhad. Kita beli buah kurma import dari pelbagai negara kerana bisikan iklan yang melampau.

Hidup dalam komuniti konsumerisme, darjat manusia ditentukan dengan material, bukan akhlak dan bakti.

Kita tidak lagi berlumba untuk menjadi lebih baik, tetapi kita berlumba berbelanja sehingga sanggup berhutang.

Konsumerisme melahirkan masyarakat yang tamak dan penting diri sendiri yang mengakibatkan kerja berlebihan, dibebani hutang, tekanan perasaan, dan seterusnya melonggarkan jurang persaudaraan.

Maka sia-sialah kita bersahur, berpuasa, berbuka, dan bertarawih.


ARIFFIN ABDULLAH bekas pelajar Universiti Malaysia Pahang, kini bekerja sebagai jurutera mekanikal di syarikat swasta. 
 
 
 

Tiada ulasan: