KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera akan berbincang tentang peranan yang perlu dimainkan pihak tentera bagi meningkatkan keselamatan di sempadan negara, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, kedua-dua pegawai tertinggi itu akan membincangkan perkara tersebut dalam tempoh terdekat berikutan ancaman yang terdapat di kawasan sempadan, terutama avtiviti sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand.

"Saya juga telah menghubungi rakan sejawatan saya dari Thailand berkaitan usaha untuk memastikan sempadan kita berada dalam keadaan lebih kukuh dan selamat.

"Hasilnya akan diumumkan pada masa sesuai," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca Kabinet di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas cadangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa tentera perlu mengambil alih kawalan berikutan ancaman keselamatan dan amalan rasuah yang wujud di sempadan, Hishammuddin berkata secara peribadi, beliau bersetuju dengan langkah itu, tetapi lebih banyak perbincangan perlu diadakan sebelum memuktamadkannya.

"Saya tidak pasti tentang laporan itu .. saya tidak menyedarinya. Tetapi, semua saksi berkenaan perlu tampil ke depan.


"Saya tak ada bantahan (terhadap langkah itu) seperti yang saya maklumkan kepada beliau (Zahid) pada mesyuarat Kabinet hari ini," kata beliau.

Menurut laporan berkenaan, Ahmad Zahid mahu pihak tentera mengambil alih kawalan keselamatan di kawasan sempadan, sejajar dengan gesaan kementeriannya agar langkah drastik dilaksanakan bagi membanteras amalan rasuah di sempadan Malaysia.

Laporan itu juga memetik sumber Cawangan Khas yang mendedahkan bahawa 83 peratus anggota keselamatan dan pegawai penguat kuasa undang-undang Malaysia yang bertugas di kawasan sempadan negara ini, terlibat dengan rasuah.

Ditanya sama ada langkah itu akan melibatkan semua anggota pasukan penguat kuasa di sempadan, Hishammuddin berkata ia tidak akan melibatkan pertukaran penuh kerana sesetengah bahagian di sempadan kini dikawal oleh anggota tentera.

Mengenai perkara yang menjadi keutamaan kementeriannya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11, beliau berkata ia meliputi empat teras iaitu peningkatan kesiapsiagaan aset untuk menangani ancaman tradisional dan bukan tradisional seperti yang sedang dihadapi di Sabah, kebajikan anggota dan veteran tentera, meningkatkan inovasi dan industri pertahanan. - Bernama