KUALA LUMPUR: Keputusan PAS berkenaan status kerjasama politik bersama DAP dan PKR melalui Pakatan Rakyat akan dibuat dalam tempoh terdekat ini.


Menurut Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, keputusan berkenaan akan dibincangkan melalui mesyuarat dan diputuskan mengikut hukum yang akan melibatkan badan tertinggi PAS iaitu Majlis Syura Ulama (MSU).

“Keputusan yang diambil PKR dan DAP dibuat sebab mereka tidak faham keputusan Muktamar. Kami Majlis Syura Ulama akan putuskan tanpa pengaruh dari mana-mana pihak, sebab ini melibatkan hukum dan keputusan yang akan dibuat adalah berasaskan Quran dan Sunnah.

“Itu keputusan DAP.. kita (PAS) akan bergantung kepada mesyuarat Majlis Syura Ulama dalam masa seminggu lagi. Kita tidak boleh buat keputusan berdasarkan kenyataan DAP,” katanya.

Dr Mahfodz ketika dihubungi The Rakyat Post berkata PAS tetap akan mengadakan mesyuarat MSU dalam masa terdekat sama ada hubungan bersama DAP kekal atau sebaliknya.

Jelasnya PAS tekad menunggu keputusan MSU kerana perkara itu berkaitan dengan hukum dan hanya boleh dibincangkan melalui MSU.

“Ahad akan diadakan mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan selepas itu baru Majlis Syura untuk bincang usul berkenaan.

“Kerana itu adalah cadangan daripada Dewan Ulama yang mencadangkan Majlis Syura Ulama untuk buat keputusan,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, Majlis Syura Ulama sudah menetapkan tarikh untuk diadakan mesyuarat pertama MSU yang dijangka diadakan minggu hadapan.

Bagaimanapun Nik Muhammad Zawawi enggan mendedahkan maklumat lanjut berhubung mesyuarat berkenaan.

“Maaf, saya tak boleh beritahu tarikh. Tapi memang sudah ditetapkan tarikh, masa dan tempatnya,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.

Terdahulu, PAS melalui Muktamarnya baru-baru ini meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa bahas untuk dibawa ke MSU.

Susulan perkara itu, DAP mengumumkan bahawa PR telah menemui titik noktahnya yang di dakwa berpunca daripada keputusan yang dibuat melalui Muktamar parti Islam itu.