GEORGETOWN - Polis sudah merekodkan percakapan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan membakar dan membaling cat di dua pusat khidmat Adun DAP dan ibu pejabat DAP negeri di sini minggu lalu.
 
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya menerima lima laporan berhubung kejadian itu termasuk dua mengenai kejadian membakar bendera DAP dalam satu perhimpunan di pekarangan Komtar Selasa lalu.
 
Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam dan mengambil tindakan tegas jika mereka yang terlibat berjaya ditangkap.
 
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita berharap semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.
 
"Saya memberi amaran kepada mana-mana pihak agar menghentikan perbuatan khianat atau bakal dikenakan tindakan tegas jika berjaya dikesan polis," katanya ketika ditemui pada majlis pelupusan dadah di sini hari ini.
 
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kejadian membaling cat dan cubaan membakar pusat khidmat Adun Komtar, Teh Lai Heng di Jalan Talipon dan Pusat Khidmat Adun Padang Kota, Chow Kon Yeow di Kompleks Jalan Kedah Ahad lalu.
 
Turut menjadi sasaran pejabat DAP negeri di Jalan Rangoon apabila disimbah cat merah di bahagian pintu hadapan oleh seorang lelaki pada hari berikutnya .
 
Kejadian yang berlaku sekitar jam 10.50 malam berjaya dirakam CCTV yang dipasang di bangunan berkenaan.
 
Abdul Rahim berkata, kes menyimbah cat di pejabat pusat khidmat DAP di Jalan Talipon dan pejabat DAP negeri disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
 
Kejadian cubaan membakar sebuah lagi pusat khidmat parti itu di Kompleks Jalan Kedah akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dengan api.
 
Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.