Rabu, 17 Jun 2015

889 ahli baru sertai PAS dikala parti diserang kiri dan kanan - Nasruddin

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Meskipun PAS diserang kiri dan kanan oleh rakan komponennya sendiri dalam Pakatan Rakyat, parti itu terus menjadi pilihan pengundi berdaftar diluar sana.
 
Hal itu dibuktikan menerusi penyerahan borang kemasukan ahli baru dalam parti itu, melibatkan kira-kira 889 orang, dedah AJK PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi.
 
Borang berkenaan diserahkan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahri Mamat kepada Nasruddin dalam Himpunan Istiqamah Hingga Kemenangan yang diadakan di Dewan Tok Guru Rusila Terengganu semalam. 
 
Antara panel yang hadir adalah Ketua Dewan Pemuda PAS baru, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairudin at Takiri, Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Sallehdan Pengerusi DHPP Terengganu, Dr. Balachandran.
 
"Malam ini (semalam) menyaksikan penyertaan ahli baru dari Kuala Terengganu seramai 90 orang, Marang 102 orang, Besut 107 orang, Dungun 210 orang, Setiu 380 orang menjadikan jumlah keseluruhan ialah 889 orang," katanya menerusi aplikasi WhatsApps kepada Antarapos.
Perkembangan itu tentunya membuka mata banyak pihak yang akhir-akhir ini fokus kepada hasrat Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) untuk menubuhkan parti baru dan menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat.
 
PAS sebelum ini dalam dua pilihan raya umum (PRU) berjaya membuktikan partinya mampu meraih sokongan pengundi Melayu Islam.
 
Pemerhati politik berpendapat parti politik baru yang bakal ditubuhkan itu mesti berupaya meraih undi pengundi Melayu sepertimana yang dilakukan PAS.


Tiada ulasan: