Khamis, 4 Jun 2015

1MDB akan beri kerjasama penuh pada BNM

MALAYSIAKINI


1MDB akan memberi kerjasama penuh kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung siasatan terhadap proses tadbir urus syarikat tersebut dan berharap penyelesaian segera bagi perkara itu.

"Kami mengesahkan Bank Negara Malaysia telah memulakan siasatan ke atas 1MDB, yang memerlukan maklumat dan kenyataan daripada individu yang terlibat dalam proses tadbir urus syarikat," kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda, dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu Bank Negara Malaysia (BNM) memulakan siasatan rasmi ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi meneliti sama ada berlaku sebarang
pelanggaran terhadap peraturan dan undang-undang bank pusat.

"Ini melibatkan arahan undang-undang dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat daripada entiti tersebut," kata BNM dalam satu kenyataan semalam.

BNM juga sedang mengambil kenyataan individu-individu yang terlibat dalam proses tadbir urus dan mendapatkan maklumat daripada pihak dalam negeri dan luar negeri yang berkenaan.

Selain itu, BNM berkata, ia telah menghantar maklumat yang diterima dari pihak berkuasa asing kepada agensi penyiasatan yang berkenaan setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa asing.

"Bank Negara Malaysia ingin menegaskan bahawa sebarang penzahiran lanjut maklumat siasatan boleh menjejaskan hasil siasatan.

"Bank Negara Malaysia sedang mengambil segala langkah yang perlu di bawah bidang kuasa perundangannya, termasuk bekerjasama dengan agensi lain, untuk menyumbang ke arah penyelesaian perkara ini dengan secepat mungkin," kata bank pusat. - Bernama


Tiada ulasan: