Rabu, 9 Julai 2014

Mahfuz cadang lantik menteri jaga tandas awam

Perlantikan menteri kabinet yang memegang portfolio kecil hanya satu pembaziran memandangkan tugas yang sedemikian boleh digalas oleh PBT

 
IMG-20140709-WA0009 (2)


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar menyelar tindakan kerajaan yang menubuhkan kabinet bersaiz XXXL.

Menurutnya, kabinet yang ditubuhkan ini tidak boleh pakai dan jumlah 35 orang menteri yang dilantik tidak sepadan dengan jumlah penduduk negara.

“Jumlah menteri kabinet yang dilantik di negara kita berbeza dengan jumlah menteri yang dilantik di negara luar seperti di Jepun,” katanya sewaktu sidang media di Ibu Pejabat PAS, hari ini.

Katanya lagi, dalam keadaan ekonomi negara yang kian menguncup, sepatutnya kerajaan mengecilkan saiz kabinet dan bukan sebaliknya.

“Kabinet yang besar belum tentu dapat menjamin kecerdikan menteri-menterinya,” ujar Mahfuz.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut memberikan contoh peristiwa hitam di dalam bidang pendidikan.

“Cuba kita tengok apa yang pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) lakukan terhadap cerdik pandai universiti. Mereka telah dipecat.

“Sepatutnya, dengan jumlah kabinet yang besar, mereka berganding bahu dan bersama-sama mencari jalan bagi meningkatkan mutu pendidikan negara hingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya lagi.

Jelasnya, kemungkinan pihak kerajaan ingin melantik tokoh pendidikan yang terdiri daripada golongan ‘yes man’ sahaja.

“Biarlah ahli akademik ini melakukan kajian mereka kerana analisis yang dibuat oleh mereka mampu meningkatkan mutu politik negara. PAS pun sebelum ini turut dikritik tetapi PAS mengambil iktibar dari kritikan tersebut.

“Selain itu juga, ia menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak boleh menerima kritikan daripada ahli akademik,” katanya.

Selain itu, Mahfuz turut menjelaskan bahawa tidak wajar untuk kerajaan melantik seorang menteri seperti Datuk Dr Wee Ka Siong untuk menjaga pembangunan masyarakat Cina di kampung-kampung baharu serta menjaga industri kecil dan sederhana.

“Takkan lantik seorang menteri hanya untuk menjaga masyarakat Cina di kampung baharu, kenapa tidak biarkan pihak kementerian yang lakukan dan biarlah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang jaga.

Ujarnya lagi, sekiranya sampai ke peringkat melantik seorang menteri untuk menjaga satu kampung, ini dinamakan pembaziran.

“Kalau demikian, lebih baik Perdana Menteri Najib Razak melantik juga seorang menteri untuk menjaga tandas awam,” katanya.

Tiada ulasan: