Rabu, 9 Julai 2014

Pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat tidak sehebat Khalid Ibrahim

Oleh Lokman Ramlee

 
Post Pic

 
 
[ULASAN] Gabungan hemah, firasat dan kebijaksanaan barisan pemimpin PKR masih belum dapat menandingi “kecerdikan” Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; baik di bidang politik mahupun pengurusan. 
 
Malah akal pengatur siasah terbaik parti itu, Rafizi Ramli yang diangkat menjadi Pengarah Strategi parti reformasi itupun tidak berdaya “melentur” Khalid supaya taat pada keputusan parti. 
Walhal Rafizi sudah lebih lima tahun belajar dan mengkaji pemikiran politik dan cara pengurusan Khalid apabila beliau menjawat tugas sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 
 
Ketika menjadi COO Anwar, Rafizi juga bertindak sebagai setiausaha mesyuarat mingguan di antara Khalid dengan Anwar. Seharusnya Rafizi sudah masak dengan cara Khalid menepis dan menghindar nasihat serta arahan Anwar. 
 
Namun keperluan menggantikan Khalid demi menjayakan strategi Langkah Kajang tidak dapat dilaksanakan dengan licin dan teratur. Khalid enggan memberi bekerjasama. Malah beliau mengulangi ikrar mahu menjadi Menteri Besar hingga tamat penggal kedua pemerintahannya di Selangor. 
 
Khalid bijak mengikat perkenan Sultan Selangor untuk terus jadi MB
 
Ikrar itu dibuat pada media dan dipersembahkan juga pada duli Sultan Selangor. Beliau berikrar dengan amat santun dan berlapik. Sesungguhnya Khalid berikrar tidak mahu melanjutkan khidmatnya untuk penggal ketiga; cukup jika beliau dapat menghabiskan “kontrak” penggal kedua. 
 
“Kontrak Khidmat” bagi Khalid ialah, apabila diberi kepercayaan oleh partinya, PKR, DAP dan PAS, untuk menjadi Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua (2013 hingga 2018), itu sudah menjadi tanggungjawab hakikinya. 
Khalid berazam untuk bekerja sehingga kontraknya tamat. Maka tiada sesiapapun dalam parti perlu “mencabar kesahihan” kedudukannya di Selangor selagi “kontrak”nya belum tamat. 
 
Memang herot pemikiran politik Khalid ini. PKR dan Pakatan Rakyat melantiknya, tetapi apabila parti memerlukan sedikit “pengorbanannya” bagi melaksanakan “agenda lebih besar Pakatan Rakyat”, beliau enggan tunduk. 
 
Khalid Ibrahim mula makan tuan?
 
Malah pimpinan parti pula disergah Khalid. Beliau yakin keabsahan kedudukannya sebagai Menteri Besar adalah bersandarkan rekodnya mentadbir Selangor sepanjang penggal pertama. Projek Merakyatkan Ekonomi Selangornya meraih simpanan hampir RM 3bilion. 
 
Lebih penting lagi kecemerlangan ini direstui rakyat. Dalilnya, dalam pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lalu, beliau berjaya memimpin Pakatan Rakyat menawan Selangor dengan majoriti bertambah. Umno cuma tinggal 12 daripada 56 kerusi di Selangor. 
 
Rumusan Khalid ialah, ini semua tidak mungkin dicapai jika rakyat tidak percaya padanya. Maksudnya, Khalid yakin beliau lebih faham sentimen dan kemahuan rakyat Selangor. Baik pimpinan PKR mahupun Pakatan rakyat, gagal menyelami hati dan minda rakyat sebaik dirinya. 
 
Lantas Khalid kini berdiri sebagai seorang pemberi peringatan kepada pemimpin-pemimpin PKR bahawa mereka sebenarnya jahil tentang realiti politik Selangor. 
 
Oleh itu, anak jati Selangor ini melaungkan peringatan -- usah mencampuri urusan pentadbiran negeri Selangor. Beliau lebih tahu. 
 
Mesej ini dilontarkannya bukan secara berselindung. Khalid tergamak menyampaikan pesan ini kepada kepimpinan de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 
 
Dengan perkataan lain, Khalid mahu menyelitkan mesej bahawa itulah rasional mengapa beliau tidak sentiasa akur pada nasihat dan arahan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi negeri. Mengapa Rafizi, arkitek Langkah Kajang, tidak faham hakikat ini?
 
Malangnya, Rafizi tidak tajam kepekaannya. Beliau gagal membaca keyakinan diri Khalid. Seharusnya beliau perlu lebih banyak belajar daripada anak Melayu yang berjaya menawan semula syarikat gergasi Guthrie daripada “penjajah” British.
 
ADUN Pelabuhan Klang sedang ajar 'silat politik' pada pemimpin PKR
 
Kini Khalid mengatur strategi untuk menyedar dan mengajar Pakatan Rakyat supaya bersikap lebih bijak dalam berpolitik dengan menunjukkan cara bagaimana beliau akan menghindari desakan supaya meletakkan jawatan. 
 
Seperti dalam perniagaan Khalid perlukan rakan niaga yang boleh dipercayai. Khalid pilih PAS. Malah hubungan yang penuh takzim dengan PAS sejak mula menjadi Menteri Besar, kini menjadi modal strategi pertahanannya. 
Meskipun ada yang dapat membaca strategi Khalid itu, ia sudah terlambat untuk “menekannya” supaya meletak jawatan. Khalid sudahpun menyusun orang-orang kanan PAS Selangor di kedudukan yang strategik di negeri itu. 
 
Sebab itu, walaupun gemuruh politik Anwar Ibrahim, Rafizi, DAP dan segelintir Anwarinas dalam PAS mahu beliau berhenti menjadi Menteri Besar, Khalid tidak peduli. Hasutlah dan fitnahlah. Yang penting pimpinan PAS masih di sebelahnya.  
 
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad masih memberi sokongan terbuka kepadanya. Malah mesyuarat pimpinan PAS Pusat sendiri masih samar pendirian mereka. Khalid telah “melabur kuasa dengan menempatkan personaliti penting PAS dalam agensi dan konglomerat negeri Selangor”.
 
Khalid percaya PAS sendiri insaf tidak mudah memimpin Selangor. Jika PAS boleh dibantu dan diberi kedudukan strategik yang boleh mengembangkan pengaruhnya di Selangor, itu lebih afdhal. 
 
Buat masa ini PAS tentu suka dan selesa jika Khalid boleh membantunya meluaskan pengaruh tanpa dibeban masalah mahu memimpin negeri itu. 
 
Khalid sejak dari awal pasak askar-askar politiknya 
 
Sehubungan itu, Khalid juga ada cara untuk memikat perkenan istana Selangor untuk terus mempertahankan kerusinya. Beliau perlu ada “jurucakap untuk mewar-warkan” prestasi baiknya mentadbir Selangor. Itu sudah diaturnya dan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, sedar hakikat ini.
 
Paling penting ialah Khalid mempunyai pasukan penasihat dan pelaksana strategi rahsianya yang cekap. Komando politiknya telah membuktikan dalam tempoh tiga tahun berstrategi beliau mampu mengalahkan Timbalan Presiden, Azmin, di negeri ini dalam kempen pemilihan PKR yang sedang berlangsung. 
 
Khalid ada Faekah Husin yang cekal menghadapi sesiapa sahaja yang cuba memperkecil kebolehannya. Beliau melengkapkan Faekah dengan kuasa untuk mentadbir Menteri Besar Incorporated (MBI) yang menguruskan kewangan anak-anak syarikat negeri Selangor. 
 
Faekah juga diberi kuasa politik untuk menjadikan Pelabuhan, kawasan dewan undangan negeri Khalid menjadi pangkalan gerakan politik akar umbi Khalid. 
 
Pendek kata, sebenarnya Khalid sudah lama mempunyai “komando” politiknya dan bersedia menghadapi “kebencian, irihati, fitnah dan kedengkian” musuh-musuh politiknya. Kini masa menggerakkannya. 
 
PKR dan Pakatan Rakyat nampaknya masih bungkam dengan kehebatan Khalid Ibrahim.

Tiada ulasan: