Sinar Harian


SHAH ALAM - Portal Sinar Harian terus menjadi laman berita berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia, menurut data yang dikeluarkan oleh Malaysia Digital Association (MDA) untuk bulan Disember 2013.

Data yang dikeluarkan MDA melalui khidmat comScore Media Metrix itu menunjukkan Sinar Harian menduduki tangga ke 11 daripada 30 laman sesawang tempatan yang menerima akses pengunjung (unique visitors) paling ramai.

Secara keseluruhan, Mudah.com menduduki tangga teratas dengan jumlah pengunjung seramai 2,359,000 manakala RHB.com.my menduduki tangga terakhir dengan pengunjung seramai 345,000.

Sementara untuk kategori portal berita, Sinarharian.com.my menduduki tangga ketiga selepas portal Thestar.com.my dan Malaysiakini.com dengan jumlah pengunjung seramai 763,000, sementara Malaysiakini seramai 838,000 pengunjung, (9 keseluruhan) dan The Star seramai 1,012,000 pengunjung.

Sementara itu portal Themalaysianinsider.com menduduki tangga keempat dengan pengunjung seramai 693,000 (13 keseluruhan) dan Bharian.com.my menduduki tangga kelima dengan jumlah pengunjung seramai 612,000 (15 keseluruhan).

Statisitik ini menunjukkan Sinar Harian menjadi portal berita berbahasa Melayu nombor satu berbanding portal akhbar lain.

Laporan MDA juga menyebutkan bahawa Sinarharian.com.my menunjukkan peningkatan memberangsangkan setelah naik enam anak tangga daripada kedudukan sebelumnya.