Prof Dr Mohd Noor Nawawi Mohd Noor Nawawi
 

TAHUN 2008 menyaksikan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk bertanding. Kali ini, situasi sama berlaku di Kajang apabila Lee Chin Cheh meletakkan jawatannya sebagai Adun bagi tujuan sama.

Apakah benar peletakan jawatan Chin Cheh bagi memperkukuhkan parti atau sekadar memenuhi keinginan Anwar yang berhasrat untuk menjadi Menteri Besar Selangor, selain membuat persediaan untuk menakluki Putrajaya.

Wartawan Sinar Harian, NORAWAZNI YUSOF bersama foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM menemu bual Dekan Pusat Pengajian Pasca Siswazah Unisel, Prof Dr Mohd Noor Nawawi bagi mengupas isu ini dan potensi Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor jika memenangi kerusi Dun Kajang.

Pada pandangan Prof, apakah tindakan Chin Cheh mengosongkan kerusi Dun Kajang boleh diklasifikasikan sebagai satu eksperimen dalam politik bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar?

Dalam isu ini tidak timbul isu eksperimen politik kerana tindakan Chin Cheh mengosongkan kerusi Kajang mungkin telah diperbincangkan oleh PKR dan mungkin juga dalam Pakatan. Saya yakin keputusan dibuat selepas membuat penilaian, perbincangan, pemikiran dan pengiraan yang mendalam dan mereka yakin mampu mengekalkan kerusi itu dengan memberi laluan kepada Anwar.

Saya yakin PKR telah membuat perhitungan dari segi pro dan kontra, dan akhirnya mereka membuat kesimpulan bahawa mereka mampu meraih kemenangan. Kalau mereka tidak yakin adalah mustahil keputusan untuk mengosongkan kerusi Kajang dibuat.

Apa rasionalnya alasan peletakan jawatan Chin Cheh bahawa beliau tidak mampu untuk menjalankan tugas dan perkara sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini kerana seseorang calon yang bertanding dalam pilihan raya seharusnya bersedia untuk menang dan berkhidmat kepada rakyat?

Saya difahamkan keputusan Chin Cheh meletakkan jawatan berdasarkan pertimbangan yang sudah semestinya telah dibincangkan di peringkat parti.

Tiada mana-mana wakil rakyat yang diberhentikan begitu sahaja tanpa alasan kukuh. Ini kerana setiap pemimpin yang dipilih dalam pilihan raya akan komited dengan parti dan begitu juga dengan tugasnya kepada rakyat.

Kalau Chin Cheh berhenti sudah pasti ada alasannya. Saya yakin alasannya adalah untuk memperkukuhkan parti dan seperti yang dinyatakan oleh Anwar iaitu untuk menjadikan Kajang itu sebagai satu loncatan kepada Pakatan menawan Putrajaya.

Oleh kerana Selangor adalah sebuah negeri yang cukup strategik, Anwar sebagai Ketua Pakatan (Rakyat) dan Ketua Umum PKR sewajarnya mengambil peluang bagi mencorakkan kerajaan Selangor.

Apa yang dilakukan di Selangor ini, sekiranya berjaya akan memberi kesan atau impak kepada pusat.

Dalam kes ini, kita boleh ambil contoh di Turki. Jika kita lihat apa yang terjadi di Turki pada mula kebangkitan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang mampu menukarkan Istanbul kepada satu 'model city' yang menjadi kebanggaan rakyat Turki akhirnya dia berjaya menangi kerusi di Turki dalam pilihan raya.

Kita dapat lihat betapa besarnya agenda yang Erdogan lakukan di Istanbul sehingga dia berjaya mendapat tempat dalam pilihan raya.

Perkara yang sama boleh terjadi di Selangor, jika ada strategik daripada Pakatan atau PKR, kemungkinan besar apa yang dinyatakan Anwar untuk ke Putrajaya menjadi realiti. Anwar telah menjalankan tugas dengan baik, sebab itu Anwar mampu menang dalam pilihan raya umum lalu.

Kalau empat atau lima tahun lagi, PKR mampu mentransformasikan Selangor sebagai ’model state’, saya percaya pilihan raya akan datang Pakatan tidak perlu banyak berkempen kerana rakyat akan melihat Selangor sebagai model.

Justeru itu, saya yakin ini adalah agenda sebenar di sebalik peletakan jawatan Chin Cheh.

Apakah tindakan untuk calonkan Anwar bertanding di Dun Kajang bagi menyelesaikan konflik yang berlaku antara Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim?

Dalam dunia politik semestinya ada konflik tidak kira mana-mana parti politik atau individu. Kadang-kala akan timbul rasa tidak senang mahupun tidak puas hati.

Begitu juga dengan Azmin dan Khalid mungkin ada perasaan yang tidak senang tetapi tidaklah sampai hubungan itu dimanipulasi dan cuba jatuhkan antara satu sama lain.

Secara amnya, mungkin masyarakat melihat wujudnya konflik antara Azmin dan Khalid yang tidak dapat diselesaikan, namun sebagai pemerhati politik saya tidak nampak antara mereka ada salah faham. Kalau ada konflik pun mungkin melibatkan masalah peribadi, bukan melibatkan parti.

Sepanjang pemerhatian, saya melihat hubungan Khalid dan Azmin amat baik. Sebagai contoh, Azmin adalah Pengarah Pilihan Raya Negeri dan Timbalan Presiden Parti.

Azmin masih memberi peluang kepada Khalid memilih kerusi untuk bertanding, termasuk kawasan Ijok. Kalau benar mereka bermusuh, Azmin sebagai orang yang berkuasa dalam parti boleh melakukan apa sahaja seperti menyekat Khalid.

Bagaimanapun, dalam konteks ini, Azmin tidak membuat apa-apa sekatan, malah memberi kebebasan untuk Khalid bertanding di mana-mana tempat yang Khalid rasa sesuai.

Ini bermakna kemungkinan ada perkelahian antara mereka, tetapi saya yakin kedua-dua mereka ada kepentingan untuk menjaga keutuhan parti. Walaupun ada percanggahan pendapat, saya nampak ia semata-mata untuk mencapai keutuhan parti.

Saya tidak melihat usaha daripada Azmin untuk menjatuhkan Khalid dan cuba merosakkan parti atau Khalid membuat sesuatu terhadap Azmin bagi tujuan yang sama.

Jadi, kalau PRK ini diwujudkan untuk menyelesaikan konflik Khalid dan Azmin serta Anwar dijadikan orang tengah, saya rasa ia kurang tepat. (Saya) tak bersetuju dengan kenyataan itu.

Trend di Permatang Pauh pada tahun 2008 dilihat telah berjangkit ke kawasan lain dan mungkin di Selangor. Apa pandangan Prof melihat trend meletak jawatan pemimpin politik semata mata untuk beri laluan kepada Anwar untuk mencapai cita-citanya?

Ini bukan trend tetapi situasi politik memerlukan ‘demand’ terhadap sesuatu tindakan yang terjadi. Kalau tahun 2008 kita mesti faham, bahawa Anwar ketika itu baru keluar dari penjara dan beliau telah dinafikan hak politik untuk sekian lama kerana berada di penjara.

Anwar adalah tokoh politik yang terkenal, berpengalaman dan sewajarnya beliau menjadi ahli parlimen dan mengambil alih kepimpinannya di Permatang Pauh. Isterinya, Dr Wan Azizah sememangnya berkebolehan, tetapi saya yakin Anwar mampu melakukan sesuatu yang lebih baik dari isterinya.

Atas alasan itu Anwar bertanding di Permatang Pauh dan Dr Wan Azizah melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen pada ketika itu.

Sekarang situasinya agak berlainan kerana Pakatan bercita-cita untuk ke Putrajaya. Jadi untuk pergi ke Putrajaya, inilah perkara yang harus mereka lakukan.

Sebagai pemerhati politik, saya melihat keadaan ini bukan satu kepelikan dalam strategi politik kerana strategi sentiasa berubah mengikut situasi dan masa.

Dalam keadaan sekarang ini, mereka dirasakan inilah situasi yang terbaik untuk buat perubahan dan tidak perlu tunggu empat atau 10 tahun akan datang, bagi mereka mencapai sasaran mereka.

Adakah Anwar mempunyai potensi untuk menjadi Menteri Besar Selangor?

Anwar ada potensi untuk menjadi Menteri Besar Selangor, sekiranya beliau menang dan parti membuat keputusan itu serta dipersetujui oleh DAP dan Pas.

Selain itu, restu daripada Sultan Selangor juga penting bagi membolehkan Anwar menjadi menteri besar.