Isnin, 10 Februari 2014

Pelajar Tahfiz Sains ungguli majlis hafal al Quran



ASLANI M 


KOTA BHARU: Bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, sebaliknya pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Sains (MTS) Tanah Merah juga mengungguli pertandingan menghafal al Quran peringkat negeri.

Tiga pelajar sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (Yik) itu muncul pemenang utama majlis menghafal al Quran peringkat negeri kali ke-35 yang diadakan di Balai Islam, Lundang malam tadi.

Wardah Syamimah Silmi, 16 muncul juara bagi tahap 1 hingga 20 juzuk. Beliau menerima wang tunai sebanyak RM3,000, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Manakala dua lagi pelajar sekolah sama menang di tempat kedua dan ketiga tahap 1 hingga 10 juzuk iaitu Wan Nurul Husna Wan Shukri, 15 serta Sakinah Shahnom, 15.

Nurul Husna menerima wang tunai RM2,000 dan Sakinah pula (RM1,000).

Mereka menerima hadiah disampaikan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Serantau, Datuk Mohd Nasuruddin Daud.

Selain itu anggota-anggota Exco, Mufti Kelantan, Datuk Mohd Sukri Mohamad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

MTS diwujudkan kerajaan negeri bagi melahirkan profesional dalam bidang sains dan teknologi yang mampu menghafal al Quran.

Sehingga kini terdapat empat MTS di Kelantan iaitu MTS Bustanal Arifin di Tumpat; MTS Tanah Merah; MTS Nurul Aman, Kok Lanas dan MTS Al Muhammadi, Bachok.

Selain itu bekas pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Pulai Chondong, Muhammad Syafee Hasan, 25 pula muncul juara kategori hafiz tahap 1 hingga 30 juzuk.

Beliau menerima wang tunai RM6,000, hadiah iringan dan sijil penghargaan, manakala kategori hafizah tahap sama dimenangi Nur Munirah Mohd Nor, 25 dari Wakaf Bharu, Tumpat. Beliau juga menerima wang tunai RM6,000. Tiada pemenang kedua dan ketiga kategori hafizah.

Pelajar-pelajar Pusat Kebajikan Tahfiz Al Quran dan Pengajian Agama Islam Banggol Kulim Rantau Panjang pula membolot kesemua hadiah utama tahap 1 hingga 10 juzuk.

Johan tahap tersebut iaitu Muhammad Zulhilmi Ab Rahman, kedua, Muhammad Dehya Emir Mohamad Arrif Emir dan ketiga, Muhammad Amirul Qafiq Mazlan. Tempat pertama menerima wang tunai RM2,500, kedua (RM2,000) dan ketiga (RM1,000).

Pelajar sekolah sama juga memenangi tahap 1 hingga 20 iaitu Abdullah Ulwan Ismai, 17. Beliau menerima wang tunai RM3,000, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Bagi tahap 1 hingga 20 juzuk kategori hafizah tiada pemenang di tempat kedua, manakala tempat ketiga, Farhana Fauzi, 18 dari Madrasah Tahfiz Darul Nisa’, Kampung Dangar, Pasir Mas.

Johan kategori hafizah tahap 1 hingga 10 iaitu Putri Aminah Mohd Hanif, 12 juga dari Madrasah Tahfiz Darul Nisa’.

Naib johan tahap 1 hingga 30 juzuk kategori hafiz iaitu Mohamad Ihsan Mohd Din, 24 pelajar Unisza, Kuala Terengganu.

Dan ketiga, Nu’man Zaki Mohd Zaki, 20 pelajar Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Kubu Baru, Selangor.

Berucap pada majlis tersebut Menteri Besar berkata, usaha kerajaan negeri mewujudkan sekolah-sekolah tahfiz bagi melahirkan modal insan selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam.

“Kerajaan negeri berusaha mendekatkan golongan muda dengan al Quran dan mengiktiraf mereka sebagai hufaz. Pada jangka panjang diharap dapat melahirkan ulama muktabar yang mampu bersaing secara lebih kompetitif dalam masyarakat,” katanya. 

Tiada ulasan: