Isnin, 10 Februari 2014

Tangguh dahulu PBS, dengar keluhan guru

MUHAMMAD FAIZAL 


KUALA LUMPUR: PAS meminta agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguh terlebih dahulu pelaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan membawanya ke meja perundingan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar, berkata Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menghormati hak dan pandangan guru-guru dengan memanggil mereka berbincang sebelum sesuatu keputusan mengenai PBS diputuskan.

Katanya lagi, bantahan yang dilakukan oleh guru-guru mengenai PBS membuktikan sistem tersebut telah merumitkan mereka serta menimbulkan bebanan tambahan kepada tugas yang dilakukan mereka sebelum ini.

"Kerajaan kena akur dengan desaakn oleh guru-guru mengenai pelaksanaan PBS yang telah menimbulkan pelbagai masalah serta bebanan kepada mereka.

"Kerajaan perlu menghormati mereka sebagai pelaksana sistem tersebut, mendengar setiap pandangan serta pendirian mereka dengan panggil berbincang sebelum PBS dilaksanakan sepenuhnya," jelas beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Menurut beliau, tidak semua pelan perancangan pendidikan yang dilakukan oleh kerajaan akan dapat memenuhi semua perkara dan dapat meringankan bebanan guru.

Jelasnya lagi, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai contoh, telah membuktikan kegagalan apabila keputusan dibuat tanpa mengambil kira pandangan golongan guru.

"PPSMI telah terbukti gagal, kita bukan menolak untuk belajar Bahasa Inggeris tetapi ia perlu dilakukan dengan cara yang betul dan melalui perbincangan semua.

"Begitu juga PBS perbincangan perlu dilakukan kemudian dapatkan ke semua pandangan baru ia diputuskan untuk dilaksanakan atau tidak," sambung beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata pihaknya memahami bebanan yang ditanggung oleh guru ketika menggunakan PBS dan justeru cuba memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM)  akan mengadakan demonstrasi Bantah SPPBS (PBS) 2014 pada 22 Februari nanti di hadapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya.

Tiada ulasan: