Rabu, 19 Februari 2014

Komando VAT69 bertegas pasukannya patuhi arahan operasi

 
HARAKAHDAILY 


KOTA KINABALU: Seorang komando VAT69 mempertahankan pendiriannya bahawa pasukan VAT69 mematuhi arahan pegawai tinggi mereka semasa operasi pengusiran membabitkan enam penceroboh ditembak mati di Kg Tanjung Batu, Lahad Datu.
  
DSP Hakemal Hawari memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pasukan itu sentiasa mematuhi arahan dan taklimat pegawai tinggi mereka sebelum memulakan operasi.
  
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk N.Sivananthan, Hakemal berkata beliau akan membuat pembetulan ke atas anggota pasukannya jika mereka bertindak secara tidak bertanggungjawab semasa menjalankan tugasan.
  
Sivananthan: Adakah anda bersetuju bahawa sebagai pegawai pemerintah, menjadi tanggungjawab kamu untuk memastikan bahawa semua pegawai dan anggota mematuhi arahan pegawai tinggi sebelum tugasan kamu di Kg Tanjung Batu?
  
Hakemal: Bersetuju.
  
Beliau menjelaskan bahawa arahan diberi oleh ketuanya Datuk Abdul Rashid Harun ialah bahawa jika pasukan itu terserempak dengan penceroboh di Kg Tanjung Batu, mereka dikehendaki menangkap penceroboh jika penceroboh mahu menyerah diri atau bertindak balas jika penceroboh melepaskan tembakan terhadap mereka.

Hakemal menarik perhatian bahawa pasukannya akan melepaskan tembakan jika mereka ditembak atau jika nyawa mereka terancam.
  
Saksi kelapan itu juga bersetuju dengan andaian Sivananthan bahawa semasa operasi pengusiran penceroboh di Kg Tanjung Batu, tiada senjata api dijumpai daripada mana-mana enam penceroboh yang ditembak mati.
  
Hakemal berkata beliau tidak memeriksa mayat keenam-enam mereka.
  
Kepada soalan sama ada beliau ada menemui mayat penceroboh yang ditembak mati selepas operasi pengusiran di Kg Tanduo, Hakemal berkata ya, walaupun beliau tidak pasti jumlahnya tetapi lebih daripada 10 mayat.
  
"Saya tak pasti berapa jumlahnya, Saya juga tak pasti pakaian mereka sebab mayat itu bertindih," katanya pada perbicaraan 30 individu yang dituduh melancarkan kegiatan pengganas di Sabah tahun lepas.
  
Terdahulu, Hakemal bersetuju dengan andaian Sivanathan bahawa Sektor A hingga E di Kg Tanduo pada dasarnya ditubuhkan untuk meliputi lokasi penceroboh tersebut.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa 161 komando VAT69 dikerah di kelima-lima sektor di Kg Tanduo.
  
Semasa pemeriksaan semula oleh Tan Sri Abdul Gani Patail mengapa dia tidak memeriksa enam mayat itu pada masa itu, Hakemal berkata pada waktu itu apa yang penting adalah keselamatan nyawanya dan anggota kumpulannya.
  
Dua puluh dua daripada 30 tertuduh termasuk dua rakyat Malaysia, menghadapi pertuduhan secara bersama melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas.
  
Seorang daripada mereka menghadapi dua pertuduhan tambahan merekrut anggota bagi kumpulan pengganas dan melindungi individu-individu yang dipercayai anggota kumpulan pengganas.
  
Dalam pada itu, lima daripada lapan tertuduh menghadapi pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas sementara seorang lagi, wanita Malaysia, dituduh melindungi individu-individu yang dipercayai anggota kumpulan pengganas.

Dua lagi menghadapi pertuduhan cuba melindungi individu-individu dipercayai anggota kumpulan pengganas.
  
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.
  
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung, bersambung hari ini. Perbicaraan berlangsung di Jabatan Penjara Sabah. - Bernama

Tiada ulasan: