KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyatakan sokongan penuh terhadap himpunan para guru yang bakal diadakan Sabtu ini terhadap sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
“Sistem PBS ini dilihat seolah-olah tidak mempunyai hala tuju yang jelas dan menyebabkan para guru terpaksa membebankan dan menumpukan kerja-kerja teknikal seperti memasukkan penilaian maklumat pelajar secara online sehingga lewat pagi,” kata pengerusinya, Mohd Bukhairy Sofian (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Akhirnya, ujar beliau guru-guru tidak lagi dapat menumpukan pengajaran kepada para pelajar kerana menumpukan kerja itu.
Tambahnya, tekanan itu bukan sahaja dirasai oleh guru yang lama telah mengajar,bahkan turut dirasai mahasiswa yang tamat pengajian dan berkhidmat sebagai guru.
Katanya lagi, SMM turut mempersoal mengapa kerajaan mengambil sistem pendidikan yang direka oleh orang luar yang tidak tahu keadaan pendidikan di Malaysia, bahkan memperuntukkan sejumlah yang besar untuk sistem itu.
“Kita patut memartabatkan pemikir-pemikir yang ada dari dalam negara kita untuk membincangkan pendidikan dalam negara sendiri,” ujarnya.
Katanya, keberadaan tokoh-tokoh pendidikan dalam negara harus dimanfaatkan.
“Kita bukan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan terhadap sistem ini, cuma jangan jadikan pelajar sekolah bahan eksperimen terhadap sistem ini. Ini adalah soal masa depan pelajar,” ujarnya yang juga Naib Presiden Gamis.
Beliau berkata, rundingan dan perbincangan terhadap sistem ini perlu melibatkan semua wakil pihak yang terbabit sama ada kementerian, guru, ibu bapa dan mahasiswa.
Sehubungan itu, ujar beliau SMM menyatakan sokongan dan mengajak mahasiswa dalam bidang apa-apa sahaja termasuk pendidikan dan perguruan untuk terlibat sama di atas himpunan itu dan berharap kerajaan tidak memandang remeh isu PBS demi mendidik generasi yang berguna di masa hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan