Selasa, 18 Februari 2014

Kes Cerai Nurul Izzah Ditangguh 11 Mac depan

Rakyat News
 
 Safiq Yaacob


KUALA LUMPUR - Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini menangguhkan tuntutan perceraian yang difailkan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar  kepada 11 Mac depan.

Peguam Nurul Izzah, Normawaddah Ramli berkata, setakat ini kedua-dua pihak masih berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan masalah penceraian tersebut.

"Kita cuba untuk selesaikan kes ini secara baik, itu sahaja lah.

"Kita masih lagi dalam proses perbincangan dan cuba selesaikan kes ini secara baik dan ianya masih dalam proses," katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Nurul Izzah bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam, sebaliknya hanya suaminya Raja Ahmad Shahrir Iskandar hadir pagi ini bagi mendengar sebutan semula kes tuntutan tersebut.

Raja Ahmad Shahrir tiba berseorangan dengan berpakaian kot kemas kira-kira jam 10.30 pagi dan terus memasuki kamar Mahkamah Rendah Syariah 1.

Kedua-dua pihak kemudian melakukan perbincangan di dalam kamar hakim sebelum keluar kira-kira 15 minit kemudian.

Raja Ahmad Shahrir enggan memberikan sebarang komen dan bergegas ke keretanya dan cuba mengelakkan diri daripada wartawan.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)  membuat tuntutan fasakh bagi membatalkan perkahwinannya pada akhir Disember tahun lalu.

Notis tuntutan tersebut diterima suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar, 35, pada 16 Januari lepas.

Nurul Izzah, 33, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, 35, telah berkahwin pada 9 Mei 2003.

Pasangan ini telah dikurniakan dua cahaya mata.

Tiada ulasan: