Lee Chee Leong Lee Chee Leong


KUALA LUMPUR - Isu dalaman PKR mungkin menjadi salah satu bahan kempen untuk MCA pada PRK Dun Kajang.

Naib Presiden MCA, Datuk Lee Chee Leong berkata, BN lebih menumpukan gerak kerja dalam memberi penerangan kepada rakyat tentang usaha-usaha yang telah dilakukan kerajaan.

"Mungkin kita akan sentuh isu (dalaman PKR) itu, dan jelaskan kepada rakyat kenapa ia berlaku.

"Namun, kami (BN) lebih berminat untuk menerangkan kepada rakyat, apakah perkhidmatan yang BN mampu berikan dan sudah lakukan, " katanya, semalam.

Bagaimanapun, Chee Leong berkata pihaknya akan mula berkempen selepas hari penamaan calon pada 11 Mac depan seperti yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengosongan kerusi Dun Kajang oleh Lee Chin Cheh dikatakan berpunca daripada masalah dalaman PKR.

Penganalisis berpendapat, jika rakyat jelas mengenai kepincangan yang berlaku mungkin mampu menggugat keselesaan calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Chee Leong, strategi yang digunakan pembangkang yang menyalahkan kerajaan BN dalam isu kenaikan sara hidup boleh memakan diri mereka semula.

"Banyak isu berbangkit di Selangor masih belum diselesaikan, antaranya isu air.

"Mereka selalu kata BN naikkan itu ini, tapi banyak kenaikan yang dibuat oleh pentadbiran PR di Selangor seperti kenaikan cukai perniagaan, naikkan elaun exco yang tertinggi pernah berlaku.

"Jadi, banyak perkara yang boleh kita jelaskan kepada rakyat, " katanya.