Selasa, 18 Februari 2014

Kami tidak sahkan laporan mesyuarat Guan Eng di Singapura, kata wartawan di mahkamah

OLEH JENNIFER GOMEZ


Wartawan daripada New Straits Times Press (NSTP) dan Utusan Malaysia memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) membocorkan rahsia kepada Singapura diragui selepas majikan mereka memohon maaf ke atas artikel tersebut.

Mereka juga mengakui tidak cuba menghubungi Lim dan ahli perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahya atau Datuk Seri Kalimullah Hassan untuk mengesahkan tuduhan yang terkandung dalam kenyataan akhbar oleh kumpulan pendesak Melayu, Perkasa pada Oktober 2011 lalu.

Wartawan Berita Harian, Mohd Azis Ngah mengakui tidak cuba mengesahkan maklumat tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua penerangan Perkasa, Ruslan Kassim sebelum mengeluarkan artikel tersebut kerana tiada arahan daripada ketua pengarang.

"Kami selalunya mendapat kenyataan akhbar daripada Ruslan dan kami percayakannya," kata beliau semasa disoal peguam Lim, Americk Singh Sidhu.

Saksi tersebut juga mengakui Umno mempunyai kepentingan dalam kumpulan NSTP.

Americk: Anda bersetuju laporan dalam akhbar di bawah kumpulan NST menyokong BN?
Mohd Azis: Ya, ia adalah polisi kita menyokong kerajaan yang memerintah.

Americk: Setuju anda tidak cuba menghubungi Datuk Seri Kalimullah, Datuk Azman Yahya atau Lim Guan Eng sebelum artikel itu diterbitkan?
Mohd Azis: Setuju.

Americk: Oleh itu laporan anda tidak seimbang?
Mohd Azis: Setuju.

Americk: Adakah anda menyedari bahawa tuduhan terhadap Lim Guan Eng boleh dilihat sebagai pengkhianatan, satu kesalahan yang serius yang membawa hukuman mati?
Mohd Azis: Ya.

Mohd Azis memberi keterangan terhadap saman fitnah Lim ke atas Perkasa dan dua akhbar harian berbahasa Melayu ekoran tuduhan oleh Ruslan mengatakan Lim membocorkan rahsia negara kepada parti pemerintah Singapura, PAP, pada 2011.

Lim menyaman Ruslan, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, NSTP dan bekas ketua pengarang kumpulan, Datuk Syed Nadzri Syed Harun, ketua pengarang kumpulan Mingguan Malaysia, Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, sebanyak RM15 juta atas dakwaan tersebut.

Penolong pengarang Utusan Malaysia, Mohd Khuzairi Ismail juga memberi keterangan hari ini mengatakan permohonan maaf yang disiarkan dalam media menyebabkan berita pembocoran rahsia oleh Lim kepada Singapura tidak tepat.

Beliau juga memberi keterangan tidak cuba untuk menghubungi tiga personaliti yang terlibat dalam laporan itu.

Beliau juga mengakui amalan biasa mengesahkan laporan tidak dipatuhi memandangkan ketua menteri tersebut tidak akan memberi komen kepada Utusan Malaysia.

Americk: Adakah anda cuba menghubungi Datuk Kalimullah selepas itu?
Mohd Khuzairi: Tiada.

Americk: Adakah anda cuba menghubungi Datuk Azman Yahya?
Mohd Khuzairi: Tiada.

Saksi itu juga memberi keterangan tidak cuba menghubungi pejabat ketua menteri Pulau Pinang untuk mengesahkan laporan itu.

Semasa soal balas oleh peguam Liew Teck Huat yang mewakili pihak akhbar, Mohd Khuzairi memberi alasan tidak menghubungi ketiga-tiga individu tersebut memandangkan mereka tidak akan bercakap dengan Utusan Malaysia.

Liew: Mengapa anda tidak menghubungi Ruslan untuk mendapatkan penjelasan kenyataan akhbarnya?

Mohd Khuzairi: Kerana saya mempercayai beliau sebagai sumber, beliau adalah seorang ahli politik yang sentiasa memberikan kenyataan media kepada Utusan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin bersambung pada 23 April. –

Tiada ulasan: