Rabu, 19 Februari 2014

Harga jatuh: Pemuda PAS bertemu penoreh getah

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia akan mula turun padang untuk bertemu dengan penoreh-penoreh getah di seluruh negara memandangkan kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan kemelut kejatuhan harga getah.

Setiausahanya, Mohd Nasaie Ismail (gambar) berkata, Rabu dan Khamis minggu ini lawatan pertama akan diketuai oleh Ketua Pemuda, Suhaizan Kaiat ke Padang Terap dan Baling, Kedah.

“Pemuda PAS juga akan menyertai demonstrasi penoreh-penoreh getah Kuala Nerang di Pekan Naka petang Rabu ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, tujuan program turun padang itu adalah untuk menyelami kehidupan penoreh getah yang tertekan akibat kejatuhan harga komoditi tersebut di samping memberi sokongan kepada gerakan penoreh getah untuk memberi tekanan kepada kerajaan supaya bertindak membantu penoreh getah yang susah di seluruh negara.

Jelasnya, Pemuda PAS akan bertemu penoreh getah di kebun dan rumah mereka dan berdialog dengan mereka bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Kita ingin mengingatkan kepada kerajaan, atas faktor apa sekalipun harga komoditi ini jatuh, kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan kehidupan rakyat tersebut,” katanya.

Apatah lagi, kata beliau ianya berlaku di tengah kenaikan kos sara hidup yang berpunca daripada pihak kerajaan sendiri.

Tiada ulasan: