Sabtu, 6 April 2013

Lahad Datu: Penduduk kampung masih bimbang ada pengganas

Wartawan Sinar Harian

Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
 
LAHAD DATU - Penduduk di Kampung Sungai Merah, dekat sini masih lagi berjaga-jaga meskipun pihak keselamatan sudah mengisytiharkan kampung mereka selamat daripada pencerobohan pengganas Kiram.

Ini kerana, penduduk masih bimbang jika ada pengganas masuk dan bersembunyi di kampung itu yang terletak bersebelahan Kampung Tanduo.

Ketua Kampung Sungai Merah, Raut Bani berkata, kedudukan kampungnya kira-kira lima kilometer daripada Kampung Tanduo, lokasi pertama berlakunya pertempuran antara pengganas dan pasukan keselamatan.

Katanya, penduduk kampung sudah dimaklumkan kehadiran pengganas pada 12 Februari lalu tetapi masih lagi belum berpindah dan pasukan keselamatan sudah ditempatkan di beberapa lokasi di kampung itu.

“Ketika mendengar kehadiran mereka (pengganas Kiram) di Kampung Tanduo kami merasa takut lebih-lebih lagi banyak cerita menakutkan yang kami dengar tentang mereka,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pada 1 Mac lalu selepas insiden tembakan yang mengorbankan dua anggota komando VAT69 dan 15 pengganas Kiram, penduduk di kampung itu mula diarahkan berpindah di pusat pemindahan sementara Cenderawasih, dekat sini.

Katanya, meskipun lebih kurang 400 penduduk sudah berpindah tetapi masih ada lagi tinggal di kampung itu termasuk dirinya.

Ini kerana katanya, tanggungjawabnya sebagai ketua kampung masih lagi diperlukan terutamanya menjaga 92 rumah serta beberapa penduduk kampung yang masih lagi enggan berpindah.

Raut berkata, pada 5 Mac ketika hari pertama Op Daulat dilancarkan, beliau dapat melihat bagaimana pesawat pejuang F/A-18D Hornet berlegar-legar di udara dan melepaskan serangan roket ke kawasan musuh.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu takutnya kami dengan situasi itu dan selepas serangan itu barulah saya serta beberapa penduduk kampung yang lain segera keluar dan tinggal di Cenderawasih,” katanya.

Raut berkata, selepas diisytiharkan selamat pada 31 Mac lalu barulah mereka dibenarkan pulang dan ketika itu pelbagai gambaran mula terbayang tentang bagaimana keadaan kampung kami setelah mendengar berita banyak rumah musnah dan rosak.

Bagaimanapun katanya, selepas pulang  tiada satu pun rumah di Kampung Sungai Merah yang rosak dan terbakar, malah semuanya berada dalam keadaan seperti sebelum mereka berpindah.

Katanya, meskipun ancaman pengganas Kiram sudah dilumpuhkan, tetapi mereka masih risau dan sentiasa memaklumkan kepada pasukan keselamatan jika terdapat sesuatu mencurigakan berlaku.

Tiada ulasan: