Isnin, 24 Disember 2012

Titiwangsa: Pertarungan untuk Melayu bandar


Pilihan raya umum akan datang dijangka menjadi perlawanan sengit untuk membentuk kerajaan Malaysia. Beberapa kerusi di seluruh negara cenderung menjadi pertempuran hangat oleh kerana dimenangi dengan majoriti tipis. The Malaysian Insider melihat beberapa kerusi panas ini dalam apa yang dikatakan pilihan raya sengit untuk memerintah Malaysia.

KUALA LUMPUR — Daripada 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Titiwangsa adalah salah satu yang mempunyai penduduk Melayu tertinggi.

Di dalamnya terletak Kampung Baru, iaitu sebuah kampung berusia lebih dari 100 tahun yang masih mengekalkan kawasan tradisional walaupun berhampiran dengan Menara Berkembar Petronas yang menjadi simbol kemodenan negara.

Dengan 67 peratus pengundi kaum Melayu, Titiwangsa boleh dikatakan kubu kuat kepada Melayu bandar, dan pilihan raya akan datang boleh dilihat sama ada sokongan Melayu bandar bersama Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat.

Dr Lo’ Lo’ Ghazali
Pada pilihan raya lalu, kerusi ini disandang oleh Dr Lo’ Lo’ Ghazali dari PAS yang menewaskan calon BN Datuk Aziz Jamaluddin Tahir dengan 1,972 undi, tetapi kerusi itu dikosongkan selama 17 tahun berikutan kematian Dr Lo’ Lo’ akibat daripada penyakit kanser pada 17 Julai 2011.
 Dengan pilihan raya umum ke-13 semakin hampir, PAS dilihat mempunyai kelebihan kerana Dr Lo’ Lo’ merupakan seorang ahli parlimen yang rajin dan popular di kawasannya.

“Arwah merupakan seorang ahli Parlimen yang baik, dan saya percaya orang Kampung Baru akan terus mengenang jasa beliau,” kata Omar Abdullah, 57 tahun, seorang pemandu teksi yang berasal dari Kampung Baru.

“Dan ini juga satu cabaran bagi PAS untuk memilih calon yang sebaik Dr Lo’ Lo bagi memastikan kebajikan penduduk Parlimen Titiwangsa, khususnya Kampung Baru terbela,” kata Omar lagi.

Calon yang disebut-sebut untuk mewakili PAS dalam pilihan raya ini ialah Mejar (B) Abdullah Abdul Wahab, iaitu Pengerusi PAS bagi parlimen Titiwangsa.

Dikenali sebagai Ustaz Lah, beliau merupakan bekas tentera bersara berpangkat Major yang mengambil alih tugas menguruskan kawasan Dr Lo’ Lo’ selepas kematiannya.

Tetapi satu lagi nama yang disebut-sebut adalah Ahmad Zamri As’sad yang kini menjadi ahli jawatankuasa khas yang menjaga parlimen Titiwangsa selepas kematian Dr Lo’ Lo’.

Ahmad Zamri juga mempunyai profail yang tinggi di dalam parti, selain beliau adalah pengerusi kepada lajnah (bahagian) undang-undang dan hak asasi manusia bagi PAS, beliau juga pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru.

Sesiapa sahaja yang dipilih, pengaruh Dr Lo’ Lo’ menjadi harapan untuk mereka meraih undi pada pilihan raya nanti.

Bagaimanapun, Titiwangsa merupakan kubu kuat BN kerana hanya pada tahun 2008 kerusi tersebut jatuh ke tangan pembangkang.

Datuk Aziz Jamaluddin Tahir
Jika anda memandu di sekitar kawasan parlimen ini, anda dapat melihat poster dan sepanduk yang menunjukkan gambar pemangku ketua bahagian Umno Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.
 Beliau disebut-sebut untuk menjadi calon bagi merampas semula kerusi Titiwangsa menjadi milik BN.

Johari, 48 tahun, dikenali ramai oleh penduduk Titiwangsa memandangkan beliau adalah pengarah pilihan raya bagi BN Titiwangsa pada tahun 1999, 2004 dan 2008.

Beliau kemudian memangku jawatan ketua bahagian selepas perletakan jawatan oleh Datuk Suleiman Abdullah pada Jun 2010.

“Datuk Johari merupakan seorang yang begitu aktif turun ke padang, dan beliau dilihat sebagai seorang yang rajin serta setia mendengar rintihan rakyat,” kata seorang ahli Umno cawangan Desa Pandan.

Walaupun Datuk Johari dilihat sebagai calon utama, beliau mempunyai seorang lagi pesaing iaitu Aziz, yang dilihat berpotensi menjadi calon.

Aziz berasal dari Kampung Baru dimana ayahnya merupakan seorang bekas imam di masjid Kampung Baru.
Aziz dikatakan rapat dengan perdana menteri kerana beliau pernah bekerja dengan Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang setiausaha di Kementerian Pertahanan.

Jadi, apakah legasi dari seorang ahli parlimen yang meninggal dunia, atau pengaruh Umno menjadi pilihan penduduk kawasan ini? Jawapannya agak sukar untuk diteka pada masa ini.

Antara isu hangat dibincangkan dalam Parlimen Titiwangsa ini adalah pembangunan Kampung Baru, dimana disinilah terletaknya Kelab Sultan Sulaiman, di mana protes orang Melayu di Kuala Lumpur menentang Malayan Union.

Kawasan kampung ini seluas 90.2 hektar, iaitu sama keluasannya dengan Monaco, di mana lebih 10,000 pemilih tertumpu di kawasan ini, dengan majoriti terdiri dari kaum Melayu, kedua-dua parti menggiatkan kempen mereka di kawasan ini memandangkan ini merupakan pusat petempatan orang Melayu di tengah pusat bandaraya.

Datuk Johari Abdul Ghani
Pada 2012, nilai tanah di Kampung Baru hanya di sekitar RM350 sekaki persegi (0.09 meter persegi) sahaja sedangkan kawasan berhampiran  seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sudah melebihi RM2,000 kaki persegi. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjangkakan nilai tanah di kawasan itu boleh melebihi RM20 bilion jika penduduk menerima konsep pembangunan sepenuhnya.

Rang undang-undang pembangunan Kampung Baru diluluskan pada 2011, bagaimanapun ditarik balik oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Ketua Pemuda PAS kawasan Titiwangsa, Suhaimi Abdul Aziz yakin PAS dapat mengekalkan Parlimen Titiwangsa, kerana PAS  memiliki kepimpinan yang mampu bekerja secara kolektif, bukan  kerana individu semata-mata.
“Insya Allah, kami dari PAS Titiwangsa yakin untuk mengekalkan kerusi ini, kerana faktor penduduk bandar, mereka celik maklumat dan kebanyakan pengundi adalah dari tahun 2008,” katanya.

Tambah Suhaimi, terdapat pelbagai isu tempatan di parlimen Titiwangsa, namun beliau enggan mendedahkannya.

“Ini adalah senjata kami, jadi kami hanya akan dedahkan selepas parlimen dibubarkan,” kata Suhaimi lagi.
Sementara itu, Umno yakin untuk mendapatkan keyakinan semula pengundi Titiwangsa dalam pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Pemuda Umno Titiwangsa Idham Yasser.

“Kita yakin dengan program transformasi yang dijalankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diterima rakyat.

“Dan pengundi Titiwangsa akan kembali menyokong Umno,” katanya.

Tiada ulasan: