Sabtu, 8 Disember 2012

Tiada Islam lagi atas perlembagaan saja


Oleh Subky Latif

TELAH cukup Islam UMNO itu mengikut ucapan pimpinannya termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Shafie Apdal di Perhimpunan Agungnya yang lepas kerana sudah tercatit dalam perlembagaan parti itu tentang kedudukan agama Islam dan apa yang wajar dilakukan mengenai Islam. 

Mungkin perlembagaan itu sudah merakamkan begitu sejak ia ditubuhkan oleh Dato Onn Jaafar 66 tahun lalu, tetapi ia tidak menghalang ulamanya keluara menubuhkan PAS kerana tidak puas hati dengan keislaman parti itu.

Perlembagaan PAS lebih tegas tentang Islamnya. Perlembagaannya menyebut bahawa dasar PAS adalah Islam. Hukum tertingginya Islam dan Allahu Akbar salamnya.

Tetapi tidak lengkap Islam PAS jika sekadar catitan dalam perlembagaannya. Ia benar-benar Islam apabila ia beramal dan bekerja untuk Islam. Samalah seperti indahnya isi Dasar Ekonomi Baru yang dibentang oleh al-Marhum Tun Razak sebaik menjadi Perdana Menteri, tetapi ia tidak jadi apa-apa apabila kerajaan dan Barisan Nasional tidak dapat melaksanakannya.

Akhirnya dokuman Dasar Ekonomi Baru itu dibakul sampahkan oleh puteranya yang menjadi Perdana Menteri 40 tahun selepasnya.

Ada pun perlembagaan itu adalah satu ikrar dan panduan, tidak jadi apa-apa makna jika ia tidak diisi dan ditunaikan.

Jauhnya sempurnanya al-Quran dibandingkan dengan perlembagaan parti politik. Al-Quran itu adalah dustur umat Islam yang Allah turunkan kepada manusia. Amat sempurna mukjizat itu. Tetapi adakah setiap orang Islam itu telah taqwa dengan adanya al-Quran?

Bagi orang Islam di kaki lima dan bekerja di kelab-kelab malam kosong Islamnya sekalipun ada al-Quran menjadi panduannya. Dapatkah kita terima tiap-tiap negara Islam sudah jadi negara Islam sempurna walaupun al-Quran ada tetapi disimpan dalam almari?

Rata-rata negara Islam itu sama saja dengan Amerika dan Rusia apabila politik, ekonomi, undang-undang dan lain-lain tidak mengambil al-Quran sebagai panduan tetapi berpandu kepada perlembagaan yang mereka cipta sendiri.

Tidak cukup Islam UMNO itu sekadar isi perlembagaannya saja jika apa yang ada pada perlembagaan itu tidak dilaksanakan. Orang tidak nilai UMNO dari apa yang tertulis dalam perlembagaannya. Orang nilai dari apa yang UMNO dan pemimpin UMNO buat.

Apabila pemandu kepada aktres jelita membuat laporan polis dia memandu menteri UMNO berulang alik ke hotel yang didatangi aktres itu, maka itu ertinya menteri UMNO persetankan perlembagaan partinya.

Ketua Ketua Pemudanya Khairy, UMNO jua mahu memperjuangkan hudud. Ia sedang di peringkat memberi kefahaman kepada rakyat. Sampai 54 tahun merdeka ia masih memberi kefahaman. Ertinya ia belum berjaya menyempurnakan arahan perlembagaan partinya.

Jika ia belum berjaya, boleh tahan juga. Sekurang-kurang ia sudah buat, tetapi belum berjaya. Hal-hal yang gagal dijayakan tidak termasuk dalam kebanggaan perjuangan. Amat malang jika kegagalan itu kerana tidak ada niat dan tiada percubaan untuk membuatnya.

Jika orang-orang belajar di England dan mendapat pendidikan barat berpandu kepada pepatah Inggeris ia tidak bangkitkan Islamnya berpandu kepada perlembagaan. Kata pepatah itu, jangan nilai sebuah buku dari kulitnya!

Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal mengira Islam UMNO itu sempurna kerana catitan Islam itu dalam perlembagaan UMNO, samalah mereka menilai sebuah buku dari layout kulit buku itu.

Tiada ulasan: