MALAYSIA KINI
Demam
pilihan raya kebelakangan ini semakin dirasai apabila PKR hari ini
tampil mendakwa air mineral yang diedar BN Selangor semasa
program-programnya tidak mematuhi peraturan air mineral.
Pengerusi
biro kepenggunaan PKR, Yahya Sahri mendakwa air dengan label Barisan
Nasional dan bertulisan 'Nurani Rakyat' serta mempunyai bendera Selangor
itu, tidak mematuhi Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Halal dan Akta
Makanan.
Menurutnya di bawah Seksyen 360 Akta
Makanan, mana-mana air yang dibotol dan dilabel sebagai air mineral
perlu dinyatakan sumber perolehan dan alamat kilang yang membotolkannya.
Yahya kemudian menunjukkan botol yang didakwa sebagai air mineral BN yang tidak mempunyai kedua-dua butiran itu pada labelnya.
Menurutnya,
tindakan itu boleh menyebabkan pengguna bakal berhadapan kesukaran
untuk membuat tuntutan kepada BN jika mengalami kejadian tidak diingini
akibat meminum air berkenaan.
"Kalau kita
minum air (ini), kita sakit, tuntutan itu boleh dibuat kepada syarikat
yang menjualnya," katanya mempersoal ketiadaan alamat pengilang pada air
berkenaan.
Beliau turut mempertikai air
mineral itu yang didakwanya menggunakan logo halal tanpa kebenaran
daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Beliau
menggesa Jakim bertindak kerana langkah itu didakwa menyalahi Seksyen
28 Akta Halal dan sekaligus menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011.
Penyelaras
BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed sewaktu dihubungi terkejut
dengan tindakan PKR mempertikaikan air mineral yang diedarkan BN
Selangor pada programnya.
Tegasnya, air mineral
itu diberikan percuma kepada rakyat dan beliau yakin ia bukan barang
dagangan yang tertakluk kepada Akta Perihal Dagangan seperti didakwa
PKR.
"Kami tak jual, (air ini) kami bagi
percuma. Ia bukan barang dagangan dan saya tak rasa air mineral Nurani
Rakyat ini tertakluk kepada akta ini," katanya dalam SMS kepada Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan