Khamis, 20 Disember 2012

Pemandu lapor polis dakwa terima saman AES salah

 


 
Seorang pemandu membuat laporan polis berhubung saman kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang diterimanya pada 24 Oktober lalu kerana mendakwa tidak pernah melakukan kesalahan tersebut.

Tambahan pula kereta yang dipaparkan dalam saman itu berbeza jenis, warna dan nombor pendaftarannya.

NONEFoo Teck Heng, 46, membuat laporan polis di Balai Polis Sagil, Muar dan saman itu memaklumkan beliau melakukan kesalahan memandu melebihi had laju di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di kilometer 204.6 Lebuhraya Utara-Selatan.

Gambar dalam saman AES itu juga menunjukkan kereta yang dipandu berwarna perak, sedangkan kereta milik Foo berwarna putih.

"Saya telah diperintahkan supaya hadir sendiri atau melalui peguam di Mahkamah Majistret Taiping kerana telah memandu kenderaan WJM 9999 melebihi had laju 110 km/j.

"Untuk makluman pihak tuan, saya tidak pernah sampai di tempat yang dimaksudkan, motokar saya bukan berwarna silver tetapi berwarna putih," laporan polis itu dipetik.

Dalam laporan polis itu, Foo yang berasal dari Tangkak Johor didakwa melakukan kesalahan itu dilakukan pada 16 Oktober pada jam 8.04 pagi.

Perkara tersebut didedahkan oleh ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching dalam satu sidang media di pusat khidmat DAP Serdang dan Foo tidak hadir dalam sidang itu.

NONEMengulas lanjut, Teo berkata kenderaan sebenar milik Foo ialah jenis Toyota Vios berwarna putih dengan nombor pendaftaran WJM 9999.

Sambil menunjukkan saman asal milik Foo kepada media, Teo berkata gambar kereta yang diambil oleh kamera AES dalam saman itu menunjukkan berwarna perak dan nombor pendaftaran WJW 9999.

Menurut Teo lagi, beliau juga dimaklumkan bahawa kereta di dalam gambar tersebut merupakan sebuah kereta jenis Toyota Camry.

"Saya telah bertanya kepada penjual kereta dan tunjuk gambar ini. Mereka kata kereta di dalam gambar ini jenis Camry dan bukan Vios seperti kereta milik Foo. Dan kereta milik Foo berwarna putih, bukan silver (perak) seperti di dalam gambar ini. Malah nombor plat pun salah.

"Dia (Foo) berasa terkejut bila dapat saman ini sebab dia tak berada di sana (Lebuhraya Utara-Selatan)," katanya.

Teo berkata beliau turut menasihatkan Foo agar tidak hadir ke Mahkamah Majistret Taiping memandangkan kemungkinan penarikan balik saman AES itu.
NONEBeliau juga akan menulis surat kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha untuk memberitahu kelemahan sistem tersebut.

"Saya akan bawa isu ini kepada pusat kawalan AES dan akan menulis surat kepada Kong Cho Ha untuk memberitahu kelemahan sistem kamera ini.

"Saya harap bahawa AES bukan sahaja dibatalkan tetapi saman yang telah dikeluarkan turut ditarik balik," katanya lagi.

Sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Ismail Ahmad dilapor berkata jumlah pengguna jalan raya yang menjelaskan saman tersebut masih rendah berbanding dengan jumlah saman yang dikeluarkan.

Jelasnya, lebih 10,000 pengguna jalan raya telah menjelaskan saman AES dari 274,000 saman yang dikeluarkan sejak sistem itu mula beroperasi 23 September lalu.

Tiada ulasan: