Isnin, 17 Disember 2012

Pelantikan CEC Melayu berdasarkan kebolehan



 
KONGRES DAP dikemaskini Pelantikan dua orang Melayu ke dalam jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) adalah berdasarkan kebolehan mereka dan mereka juga berperanan untuk mendekati rakyat Malaysia merentasi sempadan perkauman.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata demikian sewaktu mengulas pelantikan Zairil Khir Johari dan Senator Ariffin SM Omar ke dalam CEC selepas tiada satu pun daripada lapan calon Melayu yang bertanding untuk mendapat tempat dalam jawatankuasa itu menang.

Beliau bagaimana pun tidak menolak yang pelantikan itu juga adalah satu simbol perwakilan Melayu dalam DAP.

"Kita lantik berdasarkan kebolehan tetapi kita juga tidak nafikan ia satu simbolik (perwakilan Melayu) kerana Ariffin adalah seorang cendekiawan yang juga seorang senator," katanya dalam sidang akhbar selepas Kongres ke-16 DAP ditangguhkan tengah hari tadi.

Ditanya jika DAP akan turut meletakkan calon Melayu dalan pilihan raya umum akan datang, Lim menegaskan DAP akan menurunkan calon Melayu yang terpilih kerana mereka merupakan "rakyat Malaysia yang layak" untuk bertanding.

"Kita hendak letak calon rakyat Malaysia yang layak dan berpeluang cerah untuk menang.

"Ya saya sahkan akan ada calon Melayu," katanya.

Beliau bagaimanapun mengunci mulutnya dengan kemas apabila diminta memperincikan tentang calon Melayu berkenaan.

Mengulas ketetapan 'satu calon satu kerusi' yang diluluskan kongres ini, Lim berkata ia adalah ketetapan yang tertakluk kepada kelonggaran yang akan ditentukan pucuk pimpinan.

"Itu adalah ketetapan tetapi kena lihat juga keadaan dan perkiraan strategi kawasan-kawasan tertentu dan di sini ada kelonggaran yang diberikan kepada pucuk pimpinan," katanya.

Kongres DAP ke-16 yang berlangsung di Pusat Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) berakhir tengah hari tadi selepas berlangsung selama dua hari dan melangsungkan pemilihan anggota baru CEC semalam.

Pimpinan utama seperti Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, dan Karpal Singh kekal dalam CEC dan 20 anggota CEC yang dipilih juga membuat keputusan mengekalkan jawatan ketiga-tiga mereka.

Sementara itu, Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang, Rahmad Isahak menggesa DAP merencanakan usaha untuk meyakinkan perwakilan agar menerima kepimpinan Melayu dalam parti itu.

Beliau nyata kecewa apabila tiada wakil Melayu terpilih dalam pemilihan semalam.

"Ya, kita melahirkan perasaan terkilan yang amat sangat tetapi dari sudut rasional, kami sedar kuasa adalah di tangan perwakilan bukan di tangan  parti DAP itu sendiri," katanya.

Tegasnya, DAP tidak boleh hanya bergantung kepada mekanisme melantik ahli Melayu ke dalam CEC jika mereka benar-benar berbilang kaum.

"Sudah sampai masanya kepimpinan tertinggi DAP menilai semula satu mekanisma untuk meyakinkan para perwakilan menggunakan budi bicara mereka berpaksikan kepada sistem berbilang kaum," katanya.

Laporan oleh Ahmad Fadli KC, Koh Jun Lin, Lee Long Hui, Low Chia Ming dan Susan Loone.

Tiada ulasan: