Rabu, 26 Disember 2012

MCA main isu perkauman macam Umno

Khairil Abdul Rahim,


TEMERLOH: Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah (gambar) mendesak MCA berhenti meniru cara Umno dengan memainkan isu perkauman dan fitnah iaitu DAP diperkuda oleh PAS.
Dalam sidang medianya di pejabat PAS Pahang semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Triang berkata, MCA ternyata kehabisan modal politik walaupun terpaksa meniru Umno sehingga memecahbelahkan masyarakat Cina.

Beliau mengulas satu isu majlis makan malam di Telemong, Bentong yang sudah tiga minggu dimainkan oleh MCA dalam akhbar berbahasa Cina dan Inggeris.

Majlis makan malam itu dianjurkan DAP Bentong pada 17 November lalu.

Menurut Leong, seorang ahli DAP telah menaja majlis nyanyian dengan dua orang penyanyi dan pada masa itu Setiausaha PAS Kawasan Bentong Junaidi Ishak, hadir mewakili PAS.

“Apa yang berlaku ialah penyanyi pertama telah mengambil masa yang lama sehingga 20 minit membuat persembahan. Oleh kerana banyak acara lagi selepas itu, penganjur telah membatalkan persembahan penyanyi kedua.

“Akibatnya, seorang penyokong MCA yang hadir pada malam itu tidak puas hati lalu membuat cerita kononnya DAP tunduk kepada PAS kerana terpaksa membatalkan nyanyian berikutan kehadiran wakil PAS.

“Cerita itu kemudiannya dispin oleh Ketua Kampung Baru Manchis dengan mengatakan DAP meletakkan kepentingan PAS melebihi masyarakat Cina,” ujarnya.

Leong berkata, akibat peristiwa tersebut MCA telah mempergunakan isu itu termasuk mencabar DAP ‘potong ayam’ di gereja Guan Di di Telemong sebagai sumpah membuktikan siapa berbohong dalam isu itu dan difokuskan dalam akhbar.

“Orang yang paling faham isu itu ialah orang Telemong tetapi Ketua Kampung Baru (Cina) Manchis pula yang  mereka-reka cerita. Sebab itu DAP meminta beliau letak jawatan kerana dia tidak layak menjadi ketua masyarakat Cina kerana memecahbelahkan masyarakat tempatan di situ.

Leong menambah, beliau sedar oleh kerana pilihan raya umum (PRU) sudah dekat kerana itulah MCA terpaksa menggunakan taktik seperti Umno memainkan isu perkauman.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang turut hadir dalam sidang media berkata PAS tidak pernah masuk campur program DAP.

Katanya, tidak timbul langsung soal DAP tunduk kepada PAS sebagaimana PAS tidak pernah tunduk atau dimasuk campur oleh DAP.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hasan yang turut hadir menambah, isu tersebut sengaja dirancang dan diperbesarkan kerana ia merupakan strategi terancang untuk melemahkan PR.

“Di tempat majoriti Cina, MCA mainkan isu DAP tunduk kepada PAS. Manakala di kalangan masyarakat Melayu, Umno pula menyebarkan dakyah PAS tunduk kepada DAP.

“Sekarang siapa yang tundukkan siapa? Jadi kita harap rakyat sedar permainan politik kotor dan perkauman ini demi untuk mereka mengekalkan kuasa,” katanya.

Tiada ulasan: