Isnin, 24 Disember 2012

DAP tuntut Ngeh terangkan dakwaan terima tanah sebagai ganti jawatan MB


Ngeh dituduh terlibat dalam pertukaran tanah untuk jawatan MB minggu lalu. – Gambar fail
 
GEORGE TOWN— Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham mesti menerangkan kepada pimpinan parti tentang penglibatan beliau dengan syarikat pembalakan dikatakan menerima tawaran dari kerajaan negeri PAS Kelantan sebagai pertukaran dengan jawatan menteri besar (MB) Perak, kata pengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh hari ini.
 Karpal berkata, Ngeh yang mengaku sebagai pengarah dalam syarikat tersebut, mesti memberi keterangan kepada kepimpinan parti yang akan membuat keputusan selepas penerangannya.

“Ini adalah isu yang serius, jadi beliau mesti menerangkan kepada kepimpinan parti,” kata Karpal dalam sidang medianya hari ini.

“Nasihat saya kepada pemimpin DAP, supaya elakkan diri dari kedudukan yang mengakibatkan persepsi salahlaku,” kata peguam dan ahli parlimen itu.

Ngeh, bersama sepupunya Nga Kor Ming, yang juga pemimpin DAP Perak dan ahli parlimen Taiping, dituduh terlibat dalam pertukaran tanah untuk jawatan MB minggu lalu oleh ahli dewan undangan negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dalam sidang dewan.

ADUN BN Perak itu mendakwa Ngeh dan Nga dianugerahkan tanah bernilai RM30 juta sebagai pertukaran dengan jawatan MB yang disandang oleh Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin selepas pilihan raya 2008.

DAP, PAS dan PKR membentuk satu pakatan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) yang akan bersaing dengan BN dalam pilihan raya akan datang, yang akan diadakan selewat-lewatnya selepas mendat 2008 tamat pada April hadapan.

Semalam, Ngeh memberitahu akhbar The New Straits Times (NST) beliau dan Nga melabur di dalam projek tersebut tetapi menafikan kerana pertukaran dengan jawatan MB.

Ngeh beberapa hari lalu memberitahu wartawan bahawa beliau dan Nga melabur di atas jemputan klien mereka Upaya Padu Plantations Sdn Bhd.

Beliau berkata penjanjian jual beli tanah tersebut ditandatangani pada 3 Mei 2006, dua tahun sebelum pilihan raya 2008.

Ngeh dan Nga, yang juga ADUN di Perak, dimana Ngeh adalah ADUN Sitiawan manakala Nga pula ADUN Pantai Remis.

Ngeh memberitahu bahawa dakwaan tersebut adalah fitnah dan beliau akan memikirkan untuk menyaman mereka yang menfitnah dirinya dan Nga.

Tiada ulasan: