Isnin, 10 Disember 2012

Cabaran berdialog bukti Umno takut

Wartawan Sinar Harian

GEORGETOWN - Cabaran yang dikemukakan Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Dr Shaik Hussein Mydin untuk mengadakan dialog umum membuktikan bahawa Umno tidak berani untuk membawa perkara itu diadili di mahkamah.

Pegawai Khas Undang-undang Ketua Menteri, Andrew Yong berkata, cabaran untuk mengadakan dialog umum telah membuktikan Shaik Hussein tidak berani mengetengahkan tuduhannya di mahkamah berikutan tahu Ketua Menteri adalah pemimpin bersih dari rasuah.

“Beliau (Shaik) tahu bahawa Ketua Menteri tidak mempunyai apa-apa bukti rasuah. Beliau dilihat tidak mempunyai kredibiliti kerana  memungkiri janji untuk meminta maaf kepada Ketua Menteri.

“Beliau gagal meminta maaf terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng seperti yang dijanjikan selepas dakwaan palsunya terhadap Guan Eng di sebuah majlis makan malam DAP pada Mac lalu, yang menuduh Guan Eng mengatakan tidak memerlukan sokongan masyarakat India.

“Apabila video ucapan berkenaan menunjukkan dengan jelas bahawa Guan Eng tidak berkata demikian, Shaik Hussein enggan meminta maaf walaupun sudah terbukti bersalah,” katanya menerusi kenyataan medianya semalam.

Menurutnya, dia tidak memahami logik Shaik Hussein yang mempersoalkan hak undang-undang Guan Eng untuk menyamannya kerana membuat tuduhan fitnah tanpa bukti.

“Ini adalah pelanggaran hak kebebasan bersuara serta kebebasan media. Kebebasan bersuara dan kebebasan media tidak memberi hak kepada seseorang untuk memfitnah dan membuat kenyataan-kenyataan palsu.

“Biarlah perkara ini ditentukan dalam mahkamah supaya Guan Eng boleh membuktikan bahawa beliau tidak korup,” katanya.

Menurutnya, Shaik Hussein dan Gerakan harus menyokong dakwaan tidak berasas mereka terhadap Guan Eng dengan mendedahkan secara terbuka bukti rasuah seperti yang diperkatakan.

“Shaik dan Barisan Nasional(BN) telah gagal untuk membuktikan dakwaan tidak berasas bahawa Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) telah menawarkan wang kepada Guan Eng bagi menyokong tender untuk tanah seluas 0.44 hektar di Taman Manggis untuk pembinaan hospital swasta.

“Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sendiri telah mengumumkan bahawa lesen operasi hospital swasta KLIDC telah diluluskan. Adakah dengan kelulusan lesen operasi itu juga bermaksud bahawa KLIDC telah memberi wang rasuah kepada Tiong Lai?,” katanya.

Andrew berkata, KLIDC tidak menerima sebarang bantuan dalam pembidaan mereka untuk tanah berkenaan kerana ia ditawarkan kepada umum melalui tender terbuka.

Tiada ulasan: